Presiden FAM yakin Malaysia pertahan emas bola sepak

Presiden FAM yakin Malaysia pertahan emas bola sepak

Presiden FAM Sultan Ahmad Shah yakin skuad bola sepak negara akan dapat mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-26 yang sedang berlangsung di Indonesia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah yakin skuad bola sepak negara akan dapat mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-26 yang sedang berlangsung di Indonesia.

Baginda berkata prestasi unggul pada aksi kumpulan A membuktikan pasukan Malaysia kini adalah pasukan pilihan untuk muncul juara pada edisi Sukan SEA kali ini.

“Malaysia akan bertemu Myanmar pada saingan separuh akhir dan saya yakin kita akan menang 2-0,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan dewan baharu Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan, hari ini.

Sultan Ahmad berkata skuad bawah 23 tahun negara kini dalam kedudukan paling konsisten dan mampu menewaskan mana-mana pasukan pada aksi separuh akhir dan akhir nanti.

Bagaimanapun baginda berharap semua pemain tidak leka dengan kejayaan menjuarai kumpulan A, sebaliknya bekerja keras mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi sedia ada.

Pada perlawanan semalam, jaringan tunggal Syahrul Azwari Ibrahim meletakkan skuad Malaysia menjuarai kumpulan A selepas menumpaskan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Skuad bawah-23 negara akan bertemu naib juara kumpulan B, Myanmar, sementara tuan rumah Indonesia akan bertemu juara kumpulan B yang merupakan naib juara bola sepak Sukan SEA 2009, Vietnam pada perlawanan peringkat separuh akhir Sabtu ini.

– Bernama