PDRM tubuh lima markas tektikal bagi hadapi banjir

PDRM tubuh lima markas tektikal bagi hadapi banjir

PDRM menubuhkan lima markas tektikal di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi banjir, kata Pengarah Jabatan KDN dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan lima markas tektikal di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi banjir, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata markas tektikal itu, yang dilengkapi aset bantuan, logistik dan keanggotaan, ditempatkan di Markas Briged Tengah PGA Cheras; Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak; Markas Briged Tenggara PGA Kuantan, Pahang; PGA Kuching, Sarawak dan PGA Kota Kinabalu, Sabah.

“Kita juga akan tempatkan pasukan pengurusan krisis di setiap markas itu yang akan diketuai seorang Komandan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Salleh berkata PDRM juga menyusun persediaan yang lebih sistematik dan responsif dalam menghadapi banjir yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“PDRM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan agensi serta jabatan berkaitan dalam menangani banjir,” katanya.

Salleh berkata selain banjir, bencana alam turut dijangka berlaku pada musim tengkujuh itu.

“Jabatan Meteorologi meramalkan banjir besar di Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan manakala Sabah dan Sarawak akan menerima tambahan taburan hujan 2O hingga 4O peratus. Kita akan memantau kawasan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga akan bermesyuarat dengan Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak lama lagi sebagai persiapan lanjut menghadapi banjir.

Selain itu, beliau menasihati orang ramai supaya peka dengan persekitaran termasuk paras air di kawasan masing-masing serta maklumat daripada PDRM, Jabatan Meteorologi dan JPS.

“Mereka juga boleh menghubungi mana-mana talian balai polis bagi mendapatkan maklumat lanjut dan juga untuk bantuan termasuk hotline PDRM iaitu 03-20319999,” katanya.

– Bernama