LPJ pastikan pelabuhan bebas ancaman pengganas

LPJ pastikan pelabuhan bebas ancaman pengganas

LPJ akan sentiasa memastikan pelabuhan di bawah seliaannya bebas daripada ancaman pengganas, kata pengurus besar lembaga itu Nik Aziz Nik Hussain.

Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan sentiasa memastikan pelabuhan di bawah seliaannya bebas daripada ancaman pengganas, kata pengurus besar lembaga itu Nik Aziz Nik Hussain.

Katanya ini bagi meningkatkan lagi keyakinan pelabur dan menraik ramai lagi komuniti perkapalan menggunakan dua pelabuhan di negeri itu iaitu Pelabuhan Johor di sini dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah.

Beliau berkata usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan had perairan kedua-dua pelabuhan dilakukan dengan mengadakan Latihan Kawalan Ancaman Keganasan Kemudahan Pelabuhan Johor atau Capex.

“Latihan ini bertanggungjawab untuk memastikan jaringan komunikasi yang baik di antara semua terminal dengan pusat komunikasi LPJ yang mana akan memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindak balas segera sekiranya berlaku ancaman keselamatan,” katanya.

Nik Aziz berkata demikian kepada pemberita di sini selepas menutup Capex II 2011 yang disertai 400 wakil daripada sembilan terminal yang terletak di antara  kawasan had perairan kedua pelabuhan masing-masing di Tanjung Pengelih dan Tanjung Bin yang boleh menjadi pemantau keadaan keselamatan.

Terminal tersebut ialah Jeti Penumpang Tanjung Pengelih; Terminal Feri Tanjung Belungkor; Pelabuhan Tanjung Langsat; Pelabuhan Johor Berhad; Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd; PGU Idemitsu Sdn Bhd; Jeti Penumpang Stulang Laut; Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd dan Tanjung Bin Power Plant.

Menurut Nik Aziz, Capex dianjurkan 18 bulan sekali bagi mematuhi Kod Keselamatan Kemudahan Kapal dan Pelabuhan Antarabangsa yang diperkenalkan selepas kejadian 11 Sept 2001.

– Bernama