Rumah PPP di Pulau Jambongan siap dibina

Rumah PPP di Pulau Jambongan siap dibina

Sebanyak 25 rumah PPR telah siap dibina di Pulau Jambongan yang akan memberi kemudahan tempat tinggal selesa kepada penerimanya yang terdiri golongan miskin tegar.

Sebanyak 25 rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah siap dibina di Pulau Jambongan yang akan memberi kemudahan tempat tinggal selesa kepada penerimanya yang terdiri golongan miskin tegar.

Pegawai Daerah Beluran Yusop Osman berkata pembinaan semua rumah itu yang membabitkan kos RM1.1 juta adalah antara usaha kerajaan dalam meningkatkan
kehidupan golongan berkenaan.

Katanya kesemua mereka merupakan peserta Projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) Akuakultur Balat Dalam Sangkar yang dilaksanakan di kawasan laut berhampiran
rumah tersebut.

“Penyerahan rumah PPR kepada penerima dijangka disempurnakan ketika lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman ke pulau berkenaan,” katanya ketika ditemui
selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan lawatan itu di sini hari ini.

Beliau berkata selain PPR, kerajaan juga dalam usaha merealisasikan projek pembangunan agropolitan di atas tanah seluas 10,000 hektar di pulau berkenaan
untuk dinikmati penduduk setempat.

Katanya usaha lain termasuk menambah rumah PPR, pembinaan jeti, penambahan projek Mesej akuakultur, gerai, kilang dan pusat pembungkusan hasil laut.

“Projek berkenaan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat selaras hasrat kerajaan menyalurkan pembangunan seimbang,” kata Yusop.

Pulau Jambongan terletak kira-kira dua jam perjalanan dengan bot dari daerah kecil Paitan dan terdapat lima kampung di pulau itu iaitu Kampung Bahanan, Tawakal, Sharif, Melalin dan Hujung.

– Bernama