PDRM ambil penuntut Kor Suksis sebagai anak angkat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat julung kalinya mengambil penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengikuti program Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) sebagai anak angkat di bawah Jabatan Logistik Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata usaha itu termeterai hasil daripada Perjanjian Persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan pihak universiti itu pada Progam Pengambilan Anak Angkat Kor Suksis UIAM hari ini.

“Pengambilan 29 anak angkat iaitu pelajar Kor Suksis UIAM hari ini diambil secara organisasi iaitu bergantung kepada jumlah pendaftaran pelajar program Kor Suksis ini pada setiap semester.

“Jabatan Logistik dan pihak UIAM akan lebih agresif mempromosikan program Kor Suksis di UIAM kepada pelajar-pelajar baru selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU di UIAM, Gombak, hari ini.

Zulkifli berkata kerjasama erat dengan pihak universiti ini secara rasionalnya dibentuk ke arah mengukuhkan lagi hubungan interaktif kedua-dua pihak berlandaskan konsep saling menguntungkan dan bersama-sama membanteras jenayah di dalam negara.

“Program Kor Suksis ini dimantapkan daripada segi ilmu pengetahuan keselamatan supaya mereka boleh menyakinkan siswa siswi lain tentang falsafah kepolisian.

“Aspek-aspek penting keselamatan juga dapat diterapkan kepada semua warga universiti UIAM di sini dan memudahkan usaha PDRM untuk membanteras jenayah,” katanya.

Zulkifli berkata peluang kerjaya menyertai pasukan polis lebih cerah jika mereka mengikuti program Kor Suksis ini.

“Saya akan bawa perkara ini kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi PDRM dan kita

akan cuba mempermudahkan para graduan yang mengikuti kursus ini untuk kemasukan dalam pasukan polis,” katanya.

Kor Suksis UIAM ditubuhkan pada 2005 dan seramai 201 pelajar Kor Suksis berjaya menamatkan latihan dan menerima sijil pelantikan sebagai Inspektor manakala 129 orang pelatih lagi masih menjalani latihan asas Kos Suksis di UIAM dalam tempoh tiga tahun.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE