Keputusan UPSR 2011 terbaik dalam masa empat tahun

Keputusan UPSR 2011 terbaik dalam masa empat tahun

Keputusan keseluruhan calon UPSR 2011 merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional.

Keputusan keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), sungguhpun pencapaian calon cemerlang semua A mengalami sedikit penurunan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata seramai 46,012 daripada 485,160 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A, namun
pencapaiannya menurun daripada 10.02 peratus pada tahun lepas kepada 9.48 peratus tahun ini.

Ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2011 di Kementerian Pelajaran hari ini, beliau berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian baik iaitu  minimum gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki meningkat daripada 54.38 peratus tahun lepas kepada 55.45 peratus tahun 2011.

Abd Ghafar berkata calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum iaitu D, E atau kedua-duanya pula berkurangan iaitu daripada 3.39 peratus kepada 2.88 peratus tahun ini.

Mengulas mengenai penurunan peratusan calon yang mendapat kesemua A tahun ini berbanding tahun lepas, Abd Ghafar berpendapat kenaikan dan penurunan itu merupakan perkara lazim dalam peperiksaan.

“Penurunan itu agak kecil iaitu 0.54 peratus sahaja. Tetapi kalau kita lihat yang dapat minimum C bertambah. Kalau lihat keseluruhan yang (mendapat pencapaian) minimum itu berkurangan iaitu yang dapat gred D dan E berkurangan… itu bermakna baiklah,” katanya.

Abd Ghafar berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar pada tahun ini dapat dirapatkan sebanyak 0.01 daripada GPN 0.16 tahun lepas kepada 0.15 tahun ini berikutan pelbagai usaha yang dilaksanakan kementerian untuk membantu sekolah-sekolah luar bandar.

See also  Taylor's Uni shines in QS World University Rankings

Beliau percaya usaha kementerian seperti menerusi ‘School Improvement Programme’ yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberi kesan.

“Kita menggerakkan keseluruhannya dari sudut nazir, dari segi pihak guru cemerlang untuk membantu sekolah-sekolah luar bandar. Jadi nampak pada saya hasilnya program kita (untuk meningkatkan sekolah luar bandar ini,” kata beliau.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata bilangan calon istimewa yang menduduki peperiksaan itu tahun ini adalah 1,329 orang dengan 17 daripadanya mendapat semua A berbanding 12 orang tahun lepas.

Mengenai prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu-Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK), beliau berkata calon yang mendapat Gred A meningkat kepada 1.9 peratus, bagaimanapun menurun 0.6 peratus untuk Bahasa Melayu-Penulisan berbanding tahun sebelumnya.

Di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pencapaian calon yang memperoleh kesemua A meningkat masing-masing 1.3 peratus dan 1.9 peratus untuk kedua-dua subjek berkenaan, katanya.

Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris di SK, peratusan calon mendapat Gred A menurun 0.5 peratus tetapi meningkat sebanyak 0.4 peratus bagi calon yang mendapat Gred ABC, manakala peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC di SJK pula mengalami penurunan, masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 1.4 peratus.

See also  CTOS and AirAsia Academy join forces to empower SMEs

Beliau berkata analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di SK dan SJK dibuat berasingan kerana sukatan mata pelajarannya berbeza, dengan kandungan sukatan kedua-dua mata pelajaran di SK lebih tinggi tarafnya daripada SJK.

Bagi prestasi mata pelajaran Matematik, Abd Ghafar berkata secara keseluruhan ia meningkat dengan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 0.01 iaitu 2.26 tahun ini berbanding 2.27 tahun lepas, manakala GPMP untuk mata pelajaran Sains menurun sebanyak 0.03 berbanding tahun lepas.

GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

Dalam pada itu, Abd Ghafar berkata tahun ini merupakan tahun ketiga Ujian Aptitud diduduki semua murid Tahun Enam di mana prestasi dalam ujian itu dapat memberi gambaran kebolehan dan kesediaan mental mereka sebelum memasuki sekolah menengah.

Ujian itu berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan dan ia dinilai dalam bentuk Band 1 (terendah) hingga Band 4 (tertinggi).

Minat dan kecenderungan murid terhadap bidang akademik, teknik dan vokasional, seni, budaya dan sosial atau sukan turut dilaporkan.

“Keputusan ujian ini tidak dinyatakan dalam slip keputusan USPR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah. Ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan maklumat itu bagi mengetahui minat, potensi dan kecenderungan anak masing-masing,” katanya.

– Bernama