Penggiat seni digesa hasil karya lebih kreatif

Penggiat seni digesa hasil karya lebih kreatif

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para penggiat industri filem tempatan supaya menghasilkan karya-karya yang lebih kreatif.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para penggiat industri filem tempatan supaya menghasilkan karya-karya yang lebih kreatif dan bersesuaian dengan adat budaya negara ini.

Beliau berkata karya-karya itu dapat dijadikan kaedah untuk memupuk elemen positif seperti pengukuhan perpaduan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan keturunan, memantapkan lagi jati diri di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam karya-karya mereka.

“Filem bukanlah sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi ia juga berperanan sebagai satu alat penting untuk menyampaikan mesej dan menjadi medium yang berpengaruh dalam mencorakkan perkembangan dan pembinaan sesebuah generasi atau sebuah negara bangsa.

“Dengan sifatnya yang merentasi sempadan gender, ideologi dan demografi, ternyata filem merupakan senjata yang paling ampuh dalam mempengaruhi minda sesuatu masyarakat pada era ini,” katanya semasa merasmikan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24), Malam Anugerah Cipta, di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

See also  IJM Land unveils Sutera, a tranquil oasis at Seremban 2

Muhyiddin berkata industri filem tempatan mula memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan dengan kutipan RM86 juta sehingga bulan ini bagi 35 filem yang ditayangkan menerusi syarat wajib tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Industri filem tempatan juga telah mengalami perkembangan yang begitu positif apabila semakin ramai penerbit filem berani mengambil risiko dengan menerbitkan filem-filem dalam pelbagai genre.

“Antaranya filem epik ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, animasi ‘Upin dan Ipin’ dan banyak lagi yang telah meningkatkan profil dan memberi nilai tambah kepada industri filem Malaysia sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara dengan meraih pulangan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan Dana Kesan Khas (CGI) berjumlah RM8.34 juta tahun ini bagi menerapkan penggunaan teknologi yang canggih dalam penghasilan sesebuah filem.

“Diharapkan dana ini akan dapat membantu para pembikin filem tempatan bagi menghasilkan filem yang berkualiti tinggi serta memenuhi kehendak dan pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya.

See also  klpac 2024: Tributes & cultural delights await

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan memastikan semua warga perfileman Malaysia diberikan apa jua bantuan yang sewajarnya mengikut keperluan bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka dalam industri itu.

“Tujuannya ialah agar mereka layak tergolong sebagai pekerja berpengetahuan(K-Workers) dalam industri ini dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi dan kemajuan negara menjelang tahun 2020.

“Kerajaan menerusi agensi penguatkuasa kementerian-kementerian yang berkaitan dengan pembangunan industri filem akan terus melaksanakan tanggungjawab ke arah menyelesaikan isu-isu seperti cetak rompak, harta intelek dan royalti,” katanya.

Pada majlis itu, filem Hikayat Merong Mahawangsa merangkul tiga anugerah bagi kategori Lagu Tema Asal Terbaik, Poster Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Pengarah Harapan dimenangi Jurey Latiff Rosli bagi filem Libas, Pelakon Kanak-kanak Terbaik dimenangi Mia Sara (Sekali Lagi), Pelakon Harapan Wanita dimenangi Nadia Nisaa (Cun) dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dimenangi Taiyuddin Bakar (Hantu Bonceng).

– Bernama