Adun: Tiada usaha serius pulihara hutan di Kedah

Seorang penyokong kerajaan negeri Kedah hari ini meminta Jabatan Perhutanan menambah baik serta mempertingkat usaha memulihara kawasan hutan yang telah digondolkan untuk tujuan pembalakan.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Kedah kerana merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini, Yaakob Husin (PAS-Bandar Baharu) berkata hutan-hutan yang telah ditebang tidak dipulihara dengan baik dan terbiar selepas balak dari kawasan berkenaan dikeluarkan.

“Tidak nampak usaha serius untuk pemuliharaan hutan, contohnya di Gunung Bongsu, hutan botak dan kalau ada tanam semula pun, ia dilakukan secara ‘cincai’ (sambil lewa) dan pokok yang ditanam mati sebab tak diberi perhatian,” katanya.

Yaakob berkata pembalakan haram terutama di sekitar Relau dan Gunung Bongsu dekat Kulim juga semakin berleluasa yang mengakibatkan kerugian yang besar.

“Jabatan Perhutanan perlu buat pemantauan untuk tangani masalah ini dan pegawai-pegawainya pun perlu dipantau tahap integriti mereka,” katanya.

Dr Cheah Soon Hai (BN-Derga) menggesa kerajaan negeri supaya memberi tumpuan serius kepada industri pelancongan bagi meningkatkan hasil negeri.

Beliau berkata pendapatan dan jumlah kemasukan pelancong ke Kedah merosot sejak 2008.

“Kampung tradisi di Gunung Keriang sehingga kini masih terbengkalai, sedangkan kawasan itu mempunyai alam semula jadi yang indah yang boleh tarik ramai pelancong,” katanya.

Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) pula berkata kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada pintu masuk utama sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam terutama daripada segi keselamatan.

“Banyak aktiviti negatif berlaku. Kalau dulu penyeludupan barangan sahaja tapi kini sudah ada penyeludupan manusia kerana Malaysia jadi tumpuan pendatang asing untuk mencari rezeki.

“Dari sudut keselamatan, walaupun ia tugas kerajaan pusat, tapi tidak boleh nafikan peranan kerajaan negeri sebagai ‘tuan punya’ negeri,” katanya.

Ahmad Zaini berkata kedua-dua pihak iaitu kerajaan pusat dan negeri harus bekerjasama dalam soal keselamatan negeri.

– Bernama