Bukan perokok tidak ‘bebas’ daripada kanser paru-paru

Bukan perokok tidak ‘bebas’ daripada kanser paru-paru

Apakah perasaan anda bila doktor memberitahu bahawa anda disahkan menghidap kanser paru-paru?

Apakah perasaan anda bila doktor memberitahu bahawa anda disahkan menghidap kanser paru-paru?

Tambah memeritkan, kanser paru-paru anda kini berada di Tahap Empat, peringkat akhir di mana sel kanser dari tempat asal tumor telah merebak ke bahagian lain dalam badan.

Mungkin ia sesuatu yang tidak menghairankan sekira anda adalah seorang perokok tegar kerana penyakit berkenaan sememangnya dikenalpasti mudah dihidap oleh mereka yang gemar merokok.

Namun, bagi mereka yang tidak merokok atau dari komuniti ‘perokok pasif”, ia adalah suatu yang agak mengejutkan jika menerima berita seumpama.

Itulah yang dialami oleh Goh Sai Wah.

Tidak pernah merokok, wanita berusia 58 tahun ini begitu terperanjat bila didiagnos sebagai penghidap penyakit itu di Tahap Empat pada tahun lepas.

“Kanser paru-paru selalunya terkena kepada orang yang suka merokok. Tetapi, ini tidak bermakna mereka yang tidak merokok boleh selamat daripada penyakit ini (kanser paru-paru),” kata Pengarah Perubatan di Pusat Perubatan Antarabangsa Mahameru Dr Beh Chor Khim kepada Bernama baru-baru ini.

Ia adalah antara punca utama kematian dalam kalangan penduduk di seluruh dunia, dianggarkan 221,130 kes baru kanser paru-paru setiap tahun dengan angka kematian 156,940 di Amerika Syarikat pada tahun ini mengikut laman sesawang http://www.cancer.gov.

Manakala, statistik di negara ini pula menunjukkan penyakit berkenaan menjadi kanser yang paling kerap berlaku dan menyebabkan jumlah kematian paling ramai kira-kira 12 peratus daripada kesemua penyakit kanser dalam negara.

Ini berdasarkan maklumat yang dipetik daripada www.infosihat.gov.my.

Ini jelas menunjukkan penyakit ini tidak boleh dipandang ringan termasuklah bagi golongan perokok pasif.

Biarpun tidak merokok, tetapi kebarangkalian mereka mendapat penyakit berkenaan tidak dapat dinafikan terutama bagi individu yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap kualiti udara yang rendah.

Malah, dipetik dalam satu sumber berita individu berkenaan dilihat 20 peratus lebih berisiko diserang penyakit kanser paru-paru berbanding mereka yang tinggal di kawasan udara bersih.

Ini dapat dilihat apabila dianggarkan 3,000 kematian akibat kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.

Senario ini jelas menunjukkan kanser paru-paru yang secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama, kanser sel kecil paru-paru dan kanser sel bukan-kecil paru-paru, berupaya menyerang sesiapa sahaja.

Mengakui tabiat merokok sebagai faktor utama, Dr Beh berkata pencemaran alam sekitar turut menyumbang kepada risiko penyakit berkenaan.

Ini kerana, mereka yang terhidu asap yang mengandungi asbestos (satu daripada enam mineral silikat digunakan secara komersil kerana ciri fizikalnya) menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat kanser paru-paru dan ia dikenali sebagai ‘mesothelioma’.

Selain asbestos, individu yang terdedah kepada persekitaran radon (gas radioaktif) juga berisiko mendapat serangan penyakit berkenaan.

Di samping itu, Dr Beh berkata mereka yang lahir dari keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan turut mempunyai risiko mendapat kanser paru-paru .

“Terdapat kemungkinan sebanyak 30 peratus golongan yang tidak merokok mempunyai risiko untuk mendapat kanser paru-paru.

“Antara faktornya adalah seperti tekanan, cara pemakanan yang tidak sihat, penyakit jangkitan virus serta mereka yang terdedah kepada kesan radiasi,” katanya.

Mengakui agak sukar mengesan kanser paru-paru dengan lebih awal, kata Dr Beh kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selalunya berada di tahap empat .

Bagaimanapun, seseorang itu boleh mengambil langkah pencegahan awal dengan melakukan pemeriksaan kesihatan komprehensif apabila mengalami batuk berpanjangan, kesesakan nafas, sakit dada, belakang, bahu, bengkak muka dan suara garau.

Tidak sekadar itu, gejala seperti sakit tulang, lemah atau kebas di kawasan tangan dan kaki, hilang selera makan, penurunan berat badan, lemah dan kekurangan tenaga juga perlu diambil perhatian.

Atas faktor itu, Dr Beh menegaskan pemeriksaan kesihatan secara komprehensif amat penting dan bukan sekadar bergantung kepada ujian darah sahaja.

“Ujian darah sahaja tidak berkesan untuk mengesan sel-sel kanser. Disebabkan itu, perlu ada pemeriksaan menyeluruh seperti x-ray, ataupun menggunakan kaedah endoskopi untuk memeriksa bahagian dalam tubuh seseorang.

“Goh menjalani pemeriksaan darah secara rutin yang menunjukkan peningkatan petunjuk kanser dan beliau membuat keputusan menjalani PET CT yang menunjukkan beliau mengalami kanser pada peringkat empat,” kata Dr Beh.

Dr Beh juga berkata, adalah lebih baik bagi seseorang individu itu melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sekali bagi setiap tiga tahun apabila umur mereka menjangkaui 40 tahun.

Bila berada di Tahap Empat, selalunya dikatakan sudah terlambat untuk merawat kanser paru-paru. Apatah lagi, pesakit yang berada pada tahap ini sememangnya tidak dibenarkan menjalani apa-apa pembedahan.

Doktor selalunya akan menyarankan pesakit menjalani terapi seperti kimoterapi yang bertujuan memanjangkan jangka hayat dan kualiti kehidupan pesakit dan ini dialami sendiri oleh Goh.

Bagaimanapun, keadaan Goh tidak menunjukkan perkembangan memberangsangkan biarpun telah menjalani proses kimoterapi sebanyak enam kali dengan dibekalkan ubat-ubatan anti-kanser yang sangat kuat.

Akan tetapi, semuanya berubah apabila wanita ini menjalani terapi ‘Human Initiated Therapeutic Vaccine’ di Jepun tahun lepas.

“Pada awal tahun 2009, saya ada rasa sakit otot lalu saya jalani rawatan refleksologi kaki tetapi tiada perubahan. Pada masa yang sama saya jalani ujian darah sehinggalah satu hari saya diberitahu petunjuk kanser dalam badan saya adalah tinggi dan saya didiagnosis sebagai menghidap kanser paru-paru pada peringkat empat.

“Menurut doktor, saya tidak boleh dibedah kerana sudah sampai peringkat empat …jadi mereka syorkan rawatan radioterapi dan kimoterapi. Tetapi saya diberitahu tentang terapi HITV melalui Dr Beh, dan kami pergi ke Tokyo untuk mencubanya,” cerita Goh pada persidangan akhbar mengenai rawatan HITV di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai rawatan ini, Dr Beh berkata, keputusan yang diperoleh amat mengejutkan apabila mendapat tahu bahawa kesemua sel kanser dalam badan wanita itu telah hilang.

Ditemui oleh Dr Kenichiro Hasumi pada tahun 2005, terapi HITV telah memberi harapan baru bagi semua pesakit kanser kecuali leukemia.

 

Terapi itu yang dulunya hanya ada di Jepun adalah berasaskan imunologi yang menggunakan sistem imuniti badan bagi melawan penyakit.

Dr Hasumi menghabiskan lebih 40 tahun sebelum menemui kaedah HITV iaitu imunoterapi analogus bagi mengubati kanser pada peringkat serius.

Walaupun rawatan itu hanya boleh didapati di Jepun, kini ia ditawarkan di Pusat Perubatan Antarabangsa Mahameru di sini.

– Bernama