JPS pastikan semua sistem amaran banjir berfungsi

JPS pastikan semua sistem amaran banjir berfungsi

Persiapan rapi akan dilakukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memastikan semua sistem amaran awal banjir di seluruh negara berfungsi dengan baik.

Persiapan rapi akan dilakukan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memastikan semua sistem amaran awal banjir di seluruh negara berfungsi dengan baik.

Menteri berkenaan Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sudah pun diarahkan untuk turun padang bagi melakukan pemeriksaan terhadap semua 1,500 sistem amaran banjir sedia ada.

“Kita nak pastikan sistem itu berbunyi masa banjir kerana difahamkan antara punca banjir buruk di Thailand adalah disebabkan sebahagian sistem amaran banjirnya tidak berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan simposium mengenai perubahan iklim hari ini.

Selain itu, JPS juga diarahkan mengenal pasti beberapa kawasan yang tidak pernah mengalami banjir tetapi berisko dilanda banjir supaya langkah-langkah persediaan dapat dilaksanakan.

Uggah berkata JPS juga akan menjalankan pemeriksaan di semua muara-muara sungai dan sistem perparitan untuk memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dibuat dengan sempurna.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta JPS serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan penyelenggaraan terhadap sungai dan longkang supaya ia tidak tersumbat bagi menghadapi musim tengkujuh terutamanya di kawasan berisiko dilanda banjir.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia berjaya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 63 peratus tahun ini melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 40 peratus.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan kepada komuniti dunia dan usaha itu akan terus dipertingkatkan untuk mencapai paras pengurangan lebih tinggi,” katanya.

Semasa menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida kepada 40 peratus menjelang tahun 2020.

– Bernama