Kemas pemangkin pendidikan negara

Oleh Mohd Affaizul Abdul Majid

Peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam sistem
pendidikan awal kanak-kanak sejak dulu lagi diakui sebagai wadah terbaik
pembangunan sesebuah kawasan tidak kira di dalam atau luar bandar.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja,Ir Kamaruzzaman Johari
berkata, pendidikan dan pembentukan sahsiah di peringkat awal begitu
penting dalam persekitaran kanak-kanak dan hakikat itu sentiasa dipandang
serius oleh kerajaan.

Menurutnya,selain peranan dan tanggungjawab yang semakin mencabar,kerajaan
juga sentiasa menyediakan guru-guru terlatih bagi memberi pendidikan kepada
kanak-kanak yang belajar di situ.

“Kemas telah terbukti sebagai agen pembangunan yang telah banyak membantu
negara membina masyarakat yang berpendidikan khsusnya kepada kanak-kanak di
sini.

“Kecemerlangan berterusan ini diharap berkekalan dan saya percaya Kemas
juga sentiasa membuat penambahbaikan dari masa ke semasa seiring dengan
kemajuan semasa”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Konvokesyen 2011
Kanak-Kanak Tabika Kemas Parlimen Kota Raja yang diadakan di Pusat Latihan
Teknologi Tinggi (ADTEC),Kota Kemuning,di situ.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor,pegawai
Kemas,guru-guru dan tetamu jemputan yang lain.

Kamaruzzaman berkata,keupayaan Kemas dalam memberikan pendidikan kepada
golongan kanak-kanak diakui oleh negara luar dan perkara itu sememangnya
menjadi kebanggaan negara menjelang 2020 tidak lama lagi.

Menurutnya,selain daripada Kemas,masyarakat sekeliling terutama ibu bapa
perlu turut memainkan peranan dalam memastikan pendidikan anak-anak
sentiasa terjaga dan tidak hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada
pihak sekolah dan guru sahaja.

‘Kanak-kanak memerlukan suasana yang kondusif dan pada masa yang sama
motivasi juga sentiasa diberikan agar mereka mempunyai keyakinan untuk
berjaya dalam pelajaran kelak”katanya.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE