Suhakam sambung siasatan pencabulan hak asasi semasa Bersih

Suhakam sambung siasatan pencabulan hak asasi semasa Bersih

SUHAKAM hari ini menyambung semula Siasatan Awam ke atas dakwaan, antara lain, penggunaan kekerasan yang berlebihan semasa perhimpunan Bersih 2.0.

Oleh Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), hari ini menyambung semula Siasatan Awam ke atas dakwaan, antara lain, penggunaan kekerasan yang berlebihan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011.

Seramai lapan orang saksi dijadual hadir memberi keterangan di hadapan tiga anggota Panel Siasatan yang dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi b Abdul Majid dan Tuan Detta Samen pada 15  – 16 November 2011.

Pada perbicaraan hari ini, tiga orang daripada lapan saksi, di mana salah seorang daripadanya adalah seorang anggota polis, telah memberikan keterangan mereka.

Siasatan Awam ini dijalankan susulan daripada aduan dan memorandum yang diterima oleh Suruhanjaya atas dakwaan penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pegawai penguatkuasa semasa perhimpunan awam 9 Julai yang bertujuan untuk menyeru satu reformasi dalam proses pilihanraya.

Suruhanjaya juga telah menurunkan pasukan pemantau semasa perhimpunan tersebut. Ini merupakan siasatan awam yang kelapan dijalankan oleh Suruhanjaya sejak penubuhannya, di mana separuh daripada jumlah tersebut adalah disebabkan oleh aduan dan memorandum mengenai penyalahgunaan kuasa dan penggunaan kekerasan yang berlebihan dalam menyuraikan orang awam semasa perhimpunan awam.

Bagi membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia, Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia dan sekiranya aduan tersebut mewajarkan sebuah siasatan diadakan, Suruhanjaya, di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), mempunyai kuasa untuk mendapatkan dan menerima segala keterangan dan memanggil mana-mana orang untuk memberi keterangan.

Dalam hal ini, Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa kuasa untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia ini datangnya dari Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Dalam menjalankan siasatan ini, Suruhanjaya menunaikan kewajipan sebagai badan berkanun dan tanggungjawabnya untuk melindungi  dan mempromosi hak asasi manusia di negara ini seperti yang dimandatkan oleh Akta 597.

Perbicaraan seterusnya dijadual akan diadakan pada 16 November 2011 pada pukul 2.30 – 5.00 petang.