Syabas diminta telus terhadap rakyat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Menentang Penswastaan ​​Air (CAWP) telah menyerahkan memorandum pada 26hb Julai di ibu Pejabat Syabas.

Wakil dan pemimpin daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Menentang Penswastaan ​​Air (CAWP) telah menyerahkan memorandum di ibu Pejabat Syabas bagi membolehkan Syabas memberi penjelasan mengenai krisis air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada pagi ini 26hb Julai 2012.

“Kami mengharapkan agar pihak Syabas dapat memberi maklumat yang lengkap bagi membolehkan krisis air ditangani demi kepentingan rakyat supaya ketelusan, akauntabiliti dan good governance diamalkan secara wajar,” kata Pengerusi CAWP dan MP Klang Charles Santiago.

Mengikut beliau lagi  memorandum ini diserahkan kepada Pengarah Eksekutif (Perkhidmatan Teknikal) IR V Subramaniam yang mengatakan bahawa pihak Syabas sedia memberi maklumat mengenai keadaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada stakeholders supaya mencari jalan untuk mengatasi krisis air.

Semalam pihak yang sama telah menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab terhadap 30 peratus dari syer Syabas di Negeri Selangor.

Antara isu-isu yang diminta untuk diberi penjelasan oleh pihak Syabas  oleh wakil-wakil ini ialah:

  • Pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan: kuantiti air mentah dari empangan ke pengambilan sungai (river intake) dan stesen pengepaman loji rawatan ke empangan dan loji rawatan berikut: iaitu empangan Sg. Selangor (SSP1, SSP2, SSP3 dan Rasa), empangan Sg. Langat (Loji Rawatan Sg. Langat), empangan Sg. Semenyih (Loji Rawatan Sg. Semenyih), dan empangan Sg. Tinggi (yang dihubungkan dan mengalir masuk ke SSP1, SSP2, SSP3, Rasa) mulai 1 Januari 2012 – 15 Julai 2012;
  •  Bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama;
  •  Bacaan Meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna (melalui Syabas);
  •  Buku log & meter tentukur (calibrated meter) yang disahkan – Salinan buku log yang disahkan yang melibatkan pengepaman keluar setiap hari bagi setiap loji rawatan. Ketepatan meter disahkan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk membekal, memasang, mentauliah dan menyenggara peralatan telah dipastikan;
  •  Bil-bil elektrik dari 1 Januari 2012 – 15 Julai 2012;
  •  Penggunaan kimia bagi tempoh yang sama; dan
  •  Bil pembayaran Puncak Niaga kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

Mereka mengharapkan supaya pihak Syabas dapat memberikan maklumat-maklumat ini bagi membolehkan menelitian wajar dilakukan bagi menentukan samada benar-benar  wujud atau tidak krisis air  di negeri Selangor.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Sarajun Hoda, wakil Aliran, Abdul Halim Mansor, Setiausaha Agung MTUC dan Senator Syed Shahir.

Rajeswari