Banjir: Persiapan dibuat pastikan calon SPM tidak terjejas

Banjir: Persiapan dibuat pastikan calon SPM tidak terjejas

Kementerian Pelajaran telah membuat persiapan termasuk mengambil kira kemungkinan berlaku banjir di sekolah tertentu bagi memastikan pelajar yang sedang menduduki SPM tidak terjejas.

Kementerian Pelajaran telah membuat persiapan termasuk mengambil kira kemungkinan berlaku banjir di sekolah tertentu bagi memastikan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini, tidak terjejas.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah-sekolah tertentu di kawasan dan di negeri yang biasa dilanda banjir telah dikenal pasti dan penempatan akan dibuat jika sekolah mereka ditenggelami air.

“Kita telah buat persiapan, kita harap tidak akan berlaku tetapi jika ada macam tahun-tahun lepas, sekolah yang tertentu telah dikenal pasti di seluruh negara di kawasan, di negeri-negeri yang biasa dilanda banjir.

“…dan penempatan di sekolah-sekolah tertentu akan dibuat jika sekolah mereka ditenggelami air. Ini akan ditetapkan oleh pihak pengetua atau guru besar sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

See also  Pepsodent sets new record with toothbrushing event

Beliau berkata demikian selepas meninjau seramai 164 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) di sini yang sedang menduduki Kertas Bahasa Inggeris 1 bagi peperiksaan SPM 2011 yang bermula semalam

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengetua sekolah berkenaan Juriah Bahali.

Seramai 468,808 calon menduduki peperiksaan SPM yang bermula semalam hingga 14 Dis ini di 3,533 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Muhyiddin berkata perjalanan peperiksaan SPM setakat ini berjalan dengan baik dan berharap para pelajar akan memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Harapan saya supaya pelajar kita pada tahun ini akan mencapai kejayaan. Kita harap mereka bertenang dan tumpukan pada subjek yang mereka ambil.

See also  HWUM earns recognition for graduate employability

“Kita harap keputusan mereka akan lebih cemerlang lagi,” katanya.

– Bernama