Sultan Kedah kecewa Hospital Pendang belum dibina

Sultan Kedah kecewa Hospital Pendang belum dibina

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah kecewa kerana rancangan untuk membina hospital bagi daerah Pendang dan Bandar Baharu belum dilaksanakan.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah kecewa kerana rancangan untuk membina hospital bagi daerah Pendang dan Bandar Baharu belum dilaksanakan.

“Rakyat beta di daerah tersebut menghadapi kesukaran kerana perlu banyak bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital di luar daerah tersebut,” titah baginda semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.

Baginda berharap tindakan susulan hendaklah diambil bagi membina kedua-dua hospital itu memandangkan kesihatan merupakan elemen penting dalam meningkatkan taraf hidup.

Tuanku Abdul Halim juga menyeru anggota pentadbiran negeri supaya terus meningkatkan tahap kecekapan khususnya melalui inovasi yang diperkenalkan dari semasa ke semasa bagi memudah dan memendekkan masa berurusan dengan pelanggan.

Penubuhan jawatankuasa antara kerajaan dengan swasta yang lebih dikenali sebagai Pemudah adalah satu usaha yang terpuji bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut menyeru semua Anggota Dewan Undangan Negeri supaya sentiasa menyumbang buah fikiran dan tenaga bagi menyedarkan rakyat tentang pentingnya menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal di samping memiliki akhlak mulia.

– Bernama