SPM: 468,808 calon duduki peperiksaan

SPM: 468,808 calon duduki peperiksaan

Seramai 468,808 pelajar sekolah menengah semalam mula mengambil peperiksaan SPM di 3,533 pusat yang sudah ditentukan, yang dijadualkan berakhir pada 14 Dis depan.

Seramai 468,808 pelajar sekolah menengah semalam mula mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,533 pusat yang sudah ditentukan, yang dijadualkan berakhir pada 14 Dis depan.

Di Kelantan, seramai 36,333 calon telah melaporkan diri di sekolah masing-masing dan angka itu mencatatkan kemorosotan seramai 404 orang berbanding tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata daripada jumlah itu, seramai 28,087 calon terdiri daripada pelajar sekolah bantuan kerajaan, 4,945 calon dari Sekolah Agama Yayasan Islam Kelantan (YIK), Maktab Rendah Sains Mara (650) dan calon swasta (110).

“Semua calon sekolah kerajaan menduduki peperiksaan itu di 282 pusat peperiksaan di seluruh negeri, tidak termasuk 50 pusat bagi calon-calon sekolah
di bawah YIK dan empat pusat di MRSM,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu di Pahang, Pengarah Pelajaran negeri Yahya Zainal Abidin berkata seramai 22,490 calon menduduki peperiksaan SPM dan ini termasuk 23 calon
berkeperluan khas di mana tujuh daripada mereka rabun.

“Seramai 450 calon pula merupakan pelajar Orang Asli dari beberapa daerah di sini seperti Kuantan, Pekan dan Rompin,” katanya ketika dihubungi pemberita.

See also  ICAEW bridges the gap: Boosting Bumiputera accountants

Mengenai kemungkinan banjir semasa peperiksaan itu berlangsung, Yahya berkata pihaknya kini bersiap sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan berkenaan.

“Jika sekolah yang menjadi pusat peperiksaan itu mengalami banjir, kita akan bawa calon terbabit berpindah ke pusat peperiksaan yang mempunyai asrama,” katanya lagi.

Yahya berkata calon berkenaan akan ditempatkan di situ dan segala urusan penukaran pusat peperiksaan akan diuruskan dengan Majlis Peperiksaan Malaysia bagi proses pertukaran pusat peperiksaan.

Di Kedah, seramai 12 orang daripada 36,717 calon SPM menduduki peperiksaan itu di hospital kerana masalah kesihatan.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Mansor Lat berkata lapan calon menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, masing-masing seorang di Hospital Kulim, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Jitra serta seorang lagi di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Mereka yang menduduki peperiksaan di hospital kerana demam dan kemalangan jalan raya.

Katanya sebanyak 264 pusat peperiksaan dibuka bagi menampung kesemua calon yang menduduki peperiksaan.

“Keadaan cuaca hari ini baik dan saya harap cuaca seperti ini akan berterusan sehingga peperiksaan tamat pada 14 Dis,” katanya.

See also  APU win awards at Malaysia's Digital Tech accolades

Di Terengganu, seorang calon SPM terpaksa mengambil peperiksaan di Hospital Hulu Terengganu kerana dijangkiti Hepatitis A.

Namun Nor Ain Nabila Rasid, 17, tenang ketika menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas satu pagi ini.

Menurut pelajar itu, walaupun terpaksa menduduki peperiksaan di dalam wad, ia tidak menghalangnya untuk melakukan yang terbaik.

Katanya persediaan awal telah dibuat namun hanya tempat untuk menjawab peperiksaan sahaja yang berbeza namun itu bukan alasan untuk tidak mengambil peperiksaan SPM.

“Saya tidak kisah menjawab peperiksaan di mana, janji saya dapat menduduki peperiksaan penting itu walaupun suasana berbeza dan sedikit janggal kerana
terpaksa memakai baju hospital dan duduk di atas katil untuk menjawab peperiksaan,” katanya ketika ditemui di hospital.

Pelajar itu dimasukkan ke hospital berkenaan bersama 27 orang termasuk lapan kanak-kanak kerana disyaki dijangkiti virus Hepatitis A.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Anuwa Sulaiman berkata pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti jenis penyakit sebenar yang dihadapi kesemua mangsa.

– Bernama