Banjir: 75 pusat pemindahan di Temerloh bersiap sedia

Banjir: 75 pusat pemindahan di Temerloh bersiap sedia

Sebanyak 75 pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh yang mampu menempatkan 32,000 mangsa dalam satu-satu masa, kini bersiap sepenuhnya.

Sebanyak 75 pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh yang mampu menempatkan 32,000 mangsa dalam satu-satu masa, kini bersiap sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir di daerah itu.

Pegawai Daerah Temerloh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Datuk Abdul Mouin Abdul Hamid berkata pusat-pusat berkenaan adalah sekolah, dewan orang ramai, masjid, balai raya dan kawasan berbukit.

“Sebanyak 83 buah kenderaan darat termasuk lori, pacuan empat roda turut disediakan bagi kerja-kerja pemindahan manakala 18 buah bot penyelamat tentera, polis, Jabatan Kerja Raya, pejabat daerah dan Jabatan Bomba dan penyelamat juga diletakkan dalam siapsiaga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebanyak 14 buah pangkalan hadapan dan 26 kawasan pendaratan helikopter turut dikenalpasti bagi memudahkan menghantar bekalan makanan jika kawasan sekitarnya ditenggelami atau yang terputus perhubungan darat.

“Semua pusat pemindahan banjir akan dibuka serta merta apabila berlaku banjir,” katanya.

Sementara itu lebih 1,000 anggota Pertubuhan Kebajikan Warisan Kuala Semantan (Pintas) bersedia turun padang bagi membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir kelak.

Timbalan Yang Dipertua Pintas, Ahmad Jalani Sulaiman berkata, Pintas melalui Biro Kebajikan akan membantu pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat apabila bencana banjir berlaku nanti.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Bencana Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung peranan yang boleh dimainkan mereka ketika banjir kelak.

“Usaha membantu mangsa banjir itu semuanya dilakukan atas rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat di daerah ini,” katanya.

– Bernama