Jabatan Perhutanan pantau pembalakan haram

Jabatan Perhutanan pantau pembalakan haram

Jabatan Perhutanan pada masa ini menjalankan pemantauan pencegahan pembalakan haram melalui beberapa kaedah.

Oleh Elizabeth Wong,  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar Negeri Selangor

Mengikut Jabatan Perhutanan, istilah pembalakan bermaksud aktiviti pengusahasilan yang melibatkan pengambilan Hasil Hutan Utama yang mana kayu balak adalah merupakan satu daripadanya.

Ianya diguna-pakai apabila aktiviti berlaku dalam skala besar yang kebiasaan melibatkan jentera terutama dalam hutan darat. Ianya tidak dikatakan pembalakan apabila sekadar melibatkan beberapa batang pokok atau tebangan yang dilakukan oleh masyarakat setempat terutamanya untuk kegunaan pertanian.

Tebangan seperti ini kebiasaannya tidak melibatkan pengambilan keluar bayu balak dan ianya dikategorikan sebagai pencerobohan/ penerokaan hutan.

Jabatan Perhutanan pada masa ini menjalankan pemantauan pencegahan
pembalakan haram melalui beberapa kaedah. Diantaranya termasuklah:

i.          Pemantauan melalui udara dengan menggunakan helicopter

ii.          Rondaan berkala di lapangan oleh Bahagian Penguatkuasaan yang berpejabat di Shah Alam. Pasukan ini dibantu oleh Unit Penguatkuasa yang ditempatkan di Pejabat Hutan  di Daerah-daerah dan juga Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Perhutanan di Kuala Lumpur

iii.         Menjalankan tindakan pencegahan bersepadu dengan kerjasama lain-lain agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan juga Polis Diraja Malaysia

iv.        Makluman dari orang awam

Jabatan Perhutanan juga menjalankan pemantauan dengan menggunakan Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS). Sistem ini dibangunkan dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM).

Sistem ini berfungsi untuk memantau serta mengesan aktiviti yang melibatkan kawasan hutan secara makro secara lebih cepat dengan menggunakan imej satelit beresolusi tinggi.

Hasil dari pemantauan berterusan ini, rekod Jabatan Perhutanan menunjukkan tidak ada aktiviti pembalakan tanpa kebenaran yang melibatkan Hutan Simpanan Kekal  di Negeri Selangor sejak tahun 2009 hingga Oktober 2011, kecuali pada tahun 2010 apabila Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengesan pencerobohan yang dilakukan oleh Projek Pembangunan Pertanian (IADA) Barat Laut Selangor.

Kawasan pencerobohan yang dikesan oleh JPNS adalah dalam kawasan Daerah Hutan Hulu Selangor (sepanjang 16km panjang, lebar 36m dan keluasan 57.6ha) dan Daerah Hutan Pantai Klang (sepanjang 16km, lebar 32m dan keluasan 51.2ha). Jumlah kedua-dua kawasan yang dicerobohi adalah seluas 108.8ha, dan kawasan tersebut diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah membuat keputusan untuk menyita peralatan dan jentera projek tersebut. Walaupun bayaran untuk permit penggunaan dan pemulangan jentera telah dijelaskan oleh pihak IADA,
masih terdapat RM650,000 dalam kompaun yang belum dijelaskan lagi.

Selective Management System sebenarnya adalah satu sistem pengusahahasilan yang diamalkan oleh semua Jabatan Perhutanan di Semenanjung Malaysia pada masa ini. Sistem ini diamalkan terhadap kawasan hutan yang dikategorikan sebagai hutan pengeluaran (production forest). Oleh itu, sistem tersebut tidak disyor dilaksanakan di hutan bukan status pengeluaran.

Negeri Selangor dikurniakan dengan pelbagai spesies kehidupan liar yang tidak dijumpai di tempat lain, seperti Selangor Pygmy flying squirrel. Kami juga sering menjumpai spesies serangga yang belum pernah ditemui dunia sains lagi. Spesies-spesies lain yang dijumpai di Selangor termasuk tapir, kelip-kelip, siamang, labah-labah dan lain-lain.

Untuk melindungi spesies haiwan yang terancam, sejak 2008 Kerajaan Negeri Selangor telah mengharamkan pemburuan spesies terancam seperti sambar deer, flying fox dan bearded pigs. Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Perhilitan negeri Selangor untuk membatalkan lesen kedai haiwan peliharaan dan restoran yang didapati menjual spesis haiwan terancam.

Dengan dana khas Selangorku yang baru-baru diumumkan oleh Menteri Besar, sebanyak RM5 juta akan disalurkan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Dana tersebut akan membolehkan kami menjalankan audit biodiversiti dan ini akan membolehkan kami mengenali kesemua spesies kehidupan liar yang
didapati di negeri Selangor.