Pelajar sekolah Perlis sertai program di Jepun

Pelajar sekolah Perlis sertai program di Jepun

Sebanyak 20 pelajar daripada dua buah sekolah menengah di Perlis dan dua guru pengiring terpilih menyertai program pertukaran pelajar selama dua minggu ke Jepun.

Sebanyak 20 pelajar daripada dua buah sekolah menengah di negeri ini dan dua guru pengiring terpilih menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) selama dua minggu ke Jepun mulai esok.

Mereka terdiri daripada pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma dan SMK Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen dan program itu dianjurkan YTSP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, The Awaji Education Institutions For The Youth, Jepun, Tourism Malaysia di Osaka dan Jabatan Pelajaran Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika bertitah pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada pelajar itu di Galeri Diraja di Arau hari ini, berharap setiap pelajar menimba sebanyak mungkin ilmu sepanjang mereka berada di negara matahari terbit itu.

See also  Taylor's Uni shines in QS World University Rankings

Budaya kerja rakyat Jepun yang sentiasa berikhtiar mempertingkatkan inovasi canggih dan sikap masyarakat mereka yang sentiasa sepakat di samping mematuhi peraturan adalah antara ciri-ciri yang boleh diteladani oleh rakyat negara ini, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga pengerusi YTSP bertitah, masyarakat Jepun juga menekankan sikap rajin bekerja, menepati dan mendahului masa manakala generasi muda sentiasa dididik dengan mengutamakan nilai maruah, hormat dan patriotisme sejak di bangku sekolah lagi.

Nilai murni itu telah membentuk sistem budaya yang mempengaruhi cara mereka hidup, berfikir dan bekerja secara menyeluruh dan seterusnya menjadikan Jepun sebagai sebuah negara maju yang amat kompetitif, titah baginda.

YTSP memperuntukkan RM36,000 untuk program itu membabitkan dua puluh peratus harga tiket para pelajar dan dua guru pengiring serta wang belanja RM500 bagi setiap pelajar.

See also  APU lecturer Eekang Ooi earns top design certification 

Turut hadir ialah Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Konsul Jeneral Jepun ke Malaysia Ketsuro Kai.

– Bernama