Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia pulang esok

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia pulang esok

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah pada pukul 7.25 pagi Sabtu.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah pada pukul 7.25 pagi Sabtu (12.25 tengah hari waktu Malaysia) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.25 malam waktu Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata sementara itu jemaah haji dari kumpulan yang pertama ke Madinah dari sini pula akan berlepas pada 16 Nov ini, dan kumpulan pertama dari Madinah yang akan kembali ke tanah air ialah pada 27 Nov.

Beliau berkata 33 peratus daripada jemaah haji Malaysia akan kembali ke tanah air menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di Madinah, manakala selebihnya menerusi Jeddah.

“Penerbangan terakhir dari tanah suci ialah pada 10 Disember ini dan ia tiba di tanah air pada keesokkan harinya,” katanya kepada kumpulan media Tabung Haji di sini.

Sementara itu merujuk kepada operasi pengurusan jemaah haji Malaysia kali ini, Syed Salleh berkata beliau besyukur kerana segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

Menurutnya sedikit kelewatan di sana sini memang sudah dijangkakan, namun secara keseluruhan pergerakan jemaah berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah daripada segi jumlah pesakit dan jumlah kematian di kalangan jemaah haji tahun ini yang dilihat semakin berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Katanya ia mungkin berpunca daripada faktor kesedaran oleh para jemaah haji mengenai kepentingan untuk menjaga kesihatan sepanjang tempoh berada di tanah suci, dan mungkin juga disebabkan aspek persekitaran yang semakin bertambah baik.

Daripada segi perkhidmatan, Syed Salleh berkata beliau melihat pelaksanaan program Sahabat Tabung Haji, Sahabat Ibadah Tabung Haji serta program Jemaah Haji Warga Emas yang dibantu secara seorang ke seorang, cukup berkesan dalam membantu jemaah haji.

Menurutnya program-program yang melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa ini sudah pasti akan dapat memantapkan lagi usaha Tabung Haji dalam memberi bantuan yang lebih baik kepada jemaah haji Malaysia.

Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak mediayang turut bertungkus lumus menyampaikan berita dan maklumat mengenai perjalanan ibadah haji di tanah suci tanpa mengira masa.

– Bernama