Kolej Mara di Rembau berdepan risiko tanah runtuh

Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), berdepan ancaman tanah runtuh yang mungkin boleh membawa kemusnahan besar, apabila tanah cerun berhampiran kolej itu kini sudah menunjukkan tanda-tanda untuk runtuh.

Pegawai Jurutera Mara negeri Mohd Haizullah Ibrahim berkata, tanah cerun tersebut yang terletak kurang lima meter dari bangunan kediaman kakitangan kolej sudah bergerak sehingga menyebabkan “retaining wall” atau tembok penahan retak dan longkang pecah.

“Kita memang sentiasa melakukan pemantauan ke kawasan ini dan hujan yang agak lebat kebelakangan ini, kita telah mengesan ada pergerakan tanah pada 3 Nov lalu.

“Keadaan ini bukan hanya menyebabkan retaining wall retak, malah bangunan kediaman kakitangan juga retak selain jalan berhampiran menjadi tidak rata,” katanya kepada pemberita semasa lawatan Anggota Parlimen Kuala Pilah Datuk Hasan Malek ke kawasan itu, hari ini.

Mohd Haizullah berkata, pihaknya telah melakukan kajian ke atas tanah cerun tersebut di mana ia mempunyai keluasan lebih 7.5 hektar dan ketinggian antara 50 hingga 60 meter.

“Kecerunan tanah pula adalah antara 32 hingga 42 darjah dan tanah cerun ini adalah jenis tanah kaolin atau tanah liat putih di mana ia menyerap air dan disimpan di dalamnya,” katanya.

Katanya, walaupun pada masa ini pihak kolej sedang melakukan kerja-kerja pencegahan termasuk membaik pulih tembok penahan, namun hujan lebat yang membawa kepada pergerakan tanah boleh menyebabkan ia runtuh tanpa diduga.

Katanya, Institut Kerja Raya Malaysia juga akan melakukan kajian ke atas kawasan itu hari ini dan KKTM juga akan mendapatkan pandangan Jabatan Kerja Raya mengenai situasi itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Hasan berkata selepas mengetahui ancaman tersebut, pihak kolej telah mengambil langkah dengan mengarahkan semua kakitangan untuk mengosongkan kediaman mereka pada 4 Nov lalu.

“Saya difahamkan bangunan ini didiami oleh 11 keluarga kakitangan kolej ini dan mereka sudah mengosongkan kediaman, kerana kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas mereka,” katanya.

KKTM Rembau mula beroperasi pada 2008 yang menempatkan 89 kakitangan dan 360 pelajar yang mengikuti lima program diploma.

– Bernama