Yong: Media beri ruang kepada semua

Akhbar arus perdana dan alternatif di negara ini mendukung demokrasi dengan memberikan ruang kepada orang ramai untuk menyuarakan pandangan dan buah fikiran mereka, kata Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.

Beliau berkata kebanyakan organisasi media masih mengamalkan sistem terbuka dalam menyalurkan maklumat, serta, memberi peluang kepada orang ramai menzahirkan pandangan mereka.

Malahan, kerajaan turut menggalakkan media bersikap lebih terbuka dengan memansuhkan undang-undang tertentu berkaitan media bagi memastikan orang ramai mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka, katanya pada forum “Peranan Media dalam Memperkukuhkan Demokrasi” semalam.

Selain itu, beliau berharap wartawan profesional akan meningkatkan kemahiran mereka untuk memantapkan prestasi dan peranan mereka dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Yong berkata kalangan dalam media alternatif memiliki kemahiran menulis yang lebih baik dan mempunyai banyak pengetahuan mengenai isu-isu semasa.

“Ini boleh dicapai sekiranya wartawan profesional terus berusaha meningkatkan kemahiran menulis mereka, dan meletakkan minat yang mendalam terhadap kerjaya mereka,” kata Yong.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penerangan Ibrahim Abd Rahman berkata kerajaan komited untuk memastikan amalan demokrasi di negara ini terus subur.

Bagaimanapun, katanya kerajaan terpaksa berdepan dengan banyak salah maklumat dan salah tanggapan dalam media, khususnya media sosial baru seperti Facebook dan twitter.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Chin Sung Chew berkata media arus perdana kekal menjadi sumber berita yang boleh dipercayai disebalik cabaran yang diberikan oleh media baru.

Beliau berkata media arus perdana memainkan peranan penting iaitu sebagai jambatan antara orang ramai dan kerajaan.

“Langkah-langkah pembetulan yang diambil pihak berkuasa mencerminkan kebebasan media dan demokrasi di negara ini,” katanya.

– Bernama