Pemenang: Keputusan kabinet PPSMI harus dihormati

Pemenang: Keputusan kabinet PPSMI harus dihormati

Persatuan Melayu Pulau Pinang meminta kerajaan bertegas terhadap mana-mana pihak yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif termasuk isu Bahasa Melayu.

Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) hari ini meminta kerajaan bertegas dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif termasuk isu bahasa Melayu dan agama Islam.

Yang Dipertua Pemenang Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata, kebelakangan ini terdapat pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) membangkitkan isu-isu sensitif dan tidak menghormati keputusan kabinet.

“Jika kabinet telah memutuskan bahawa dasar Pendidikan Sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, semua pihak haruslah menghormatinya.”Tetapi adalah mendukacitakan apabila terdapat menteri kabinet sendiri yang membuat desakan berlainan,” katanya kepada pemberita.

Katanya, pemimpin parti-parti komponen itu juga membuat cadangan yang bertujuan menjadi “wira” dalam menghapuskan penggunaan bahasa Melayu dengan tidak mahu menerima Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pada tahun depan.

Beliau berkata, kenyataan untuk menolak MBMMBI itu disusuli pula dengan desakan untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing yang seolah-olah tidak mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mohd Yussof berkata, begitu juga dengan kenyataan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao yang membantah majlis korban sempena Aidiladha diadakan di premis awam atas alasan ia menyentuh sensitiviti penyembelihan lembu yang dianggap binatang suci oleh agama lain.

“Isu agama adalah sensitif namun ia memerlukan toleransi, samalah seperti penganut Hindu dibenarkan menganjur perarakan Thaipusam di kawasan yang mempunyai orang Islam manakala penganut Buddha bebas membuat upacara kegamaan …seperti membakar gaharu gergasi dan persembahan operasi di tepi jalan raya”.

“Penduduk Islam di kawasan berkenaan selama ini telah bertolerasi dan tidak pernah membangkitkan isu-isu sensitif itu,” katanya.

– Bernama