Jamil: Kenyataan Najib selesai Haji disalah tafsir

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menjelaskan bahawa kenyataan daripada Twitter Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lepas yang beliau selesai menunaikan ibadah haji sedangkan masih ada rukun haji yang belum dilaksanakan ketika itu, telah disalah tafsir.

Sambil menolak sebarang andaian kononnya Perdana Menteri dan isteri  Datin
Seri Rosmah Mansor serta beberapa kenamaan lain tidak selesai mengerjakan ibadah
haji, beliau berkata sebagai tetamu diraja kerajaan Arab Saudi, Perdana Menteri serta jemputan yang lain dapat menjalankan ibadah dengan baik.

Bercakap kepada pemberita sejurus tiba dari Tanah Suci di KLIA, Jamil Khir berkata Perdana Menteri dan rombongan telah mendapat kawalan yang baik dan  teratur bagi menyempurnakan semua ibadah semasa mengerjakan haji.

“Yang dimaksudkan (dalam Twitter Perdana Menteri), bukan selesai ibadat haji
(tetapi) selesai wukuf. Wukuf ini dari Zohor 9 Zulhijjah sehingga Maghrib hari yang sama. Jadi yang dimaksudkan selesai itu, selesai wukuf.

“PM selesai (menunaikan ibadah haji). Haji ialah kita mesti pergi di Arafah. Kalau kita tidak berada di Arafah, maka tiadalah haji itu.

“Jadi pada petang itu mungkin…barangkali soalan itu ditanya petang itu…selesai itu, selesai arafah. Haji itu belum selesai lagi.

“Kita masih ada untuk nak melontar selama tiga hari pada hari-hari Tasyrik.

Jadi ini yang mungkin disilap faham,” kata beliau.

– Bernama