Kes denggi masih pada paras tinggi

Kes denggi masih pada paras tinggi

Kes denggi turun mendadak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini namun jumlahnya masih dianggap tinggi.

Kes denggi turun mendadak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini namun jumlahnya masih dianggap tinggi, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata sebanyak 1,571 kes denggi dicatatkan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan berkenaan tahun ini sehingga 1 Nov lalu, iaitu penurunan ketara berbanding 4,124 kes sepanjang tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Anti-Denggi Blog For FT Cares!’, di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (1), di sini hari ini, beliau berkata pihaknya yakin sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian menurunkan tahun ini jumlah kes sebanyak 10 peratus daripada 3,712 kes tahun lalu, dapat dicapai.

See also  Columbia Asia Hospital opens in Bukit Jalil

“Jumlah 1,571 kes yang dicatatkan itu masih tinggi dan kita akan berusaha mengurangkannya lagi tahun depan,” katanya.

Menurut Raja Nong Chik, antara ketiga-tiga Wilayah Persekutuan tersebut, Kuala Lumpur mencatat kes paling tinggi, mungkin disebabkan kepadatan penduduk dan kawasan yang lebih luas, manakala Putrajaya paling rendah iaitu 46 kes sehingga semalam berbanding 100 kes sepanjang tahun lalu.

Katanya, kejayaan mengurangkan keseluruhan jumlah kes denggi bagi Wilayah Persekutuan itu adalah kerana setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian memberi fokus termasuk menjalankan kempen, mengambil tindakan sewajarnya terhadap isi rumah serta aktiviti penyemburan asap.

Sasaran tahun depan ditentukan selepas pemeriksaan keseluruhan terhadap senario kes denggi sepanjang tahun ini, dan kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak swasta melakukan kempen kesedaran dan mencegah.

See also  Sensodyne unveils triple threat toothpaste in Malaysia

Mengenai Program Anti-Denggi tersebut Raja Nong Chik berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran bahaya demam denggi di kalangan pelajar sekolah, sekaligus mengajar anak-anak muda mengenai pencegahan penyebaran demam denggi.

Beliau berkata semasa program tiga hari yang bermula semalam itu, ceramah berkaitan denggi termasuk langkah pencegahan dan mengenal pasti tanda demam denggi diadakan di 10 buah sekolah rendah di sini melibatkan 2,927 pelajar, 300 guru serta lebih 150 pengusaha kantin dan pekerja sekolah.

Program itu disertai syarikat swasta, Rentokil Initial (M) Sdn Bhd sebagai rakan menyediakan pakar-pakar memberi ceramah, katanya.

– Bernama