MTPNK sedia 456 pusat pemindahan di seluruh Kedah

MTPNK sedia 456 pusat pemindahan di seluruh Kedah

MTPNK telah membuat persiapan teratur dan lengkap termasuk menyediakan 456 buah pusat pemindahan di seluruh negeri untuk menghadapi banjir.

Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah (MTPNK) telah membuat persiapan teratur dan lengkap termasuk menyediakan 456 buah pusat pemindahan di seluruh negeri untuk menghadapi banjir.

Pengerusi MTPNK, Datuk Mohd Johari Baharom berkata semua pusat pemindahan itu boleh memuatkan sehingga 80,000 orang dalam satu masa.

Beliau berkata di setiap pusat pemindahan itu turut disediakan empat hingga lima buah katil untuk warga emas dan mangsa yang uzur atau sakit.

Katanya jumlah pusat pemindahan akan ditambah sekiranya bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat agar mereka berada dalam keadaan selesa.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Persiapan Banjir Kedah di sini semalam, beliau berkata pusat pemindahan paling banyak disediakan di daerah Kota Setar iaitu 78 buah.

Di Kubang Pasu pula sebanyak 70 buah, Padang Terap dan Kuala Muda masing-masing 38 buah, kata Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata MTPNK juga mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan terputus hubungan jalan seperti Wang Tepus, Kampung Lahar dan Kampung Betong di Kubang Pasu manakala Kurung Hitam di Padang Terap.

“Kawasan-kawasan ini disediakan keperluan seperti makanan bagi memudahkan penduduk yang terperangkap mendapat bekalan makanan secukupnya jika banjir melanda,” tambahnya.

Dari segi logistik, bot, lori dan jentera berat telah tersedia untuk digunakan bagi membawa mangsa banjir ke pusat-pusat pemindahan, katanya dan menambah jika perlu, helikopter akan digunakan bagi memantau kawasan yang terputus hubungan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Johari berkata pendaftaran mangsa banjir perlu dibuat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelak kekecohan berlaku seperti pada tahun lepas.

“Persiapan rapi ini dibuat atas dasar bertanggungjawab kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri untuk membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya.

– Bernama