Audit: Kementerian menerima teguran secara positif

Audit: Kementerian menerima teguran secara positif

Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air menerima secara positif segala teguran di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan pelaksanaan program BELB.

 

Oleh Loo Took Gee, Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air

Laporan Ketua Audit negara 2010 mengenai projek bekalan elektrik luar bandar yang dibiayai oleh dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (Aaibe)

Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menerima secara positif segala teguran di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan pelaksanaan program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dibiayai oleh Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dan akan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan yang disyorkan.

Kementerian ini telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) yang telah ditubuhkan pada 1 Januari 1997 atas Surat Ikatan Amanah (Trust Deed)yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan mengikut Seksyen 9(3) Akta Acara Kewangan 1957. Penubuhannya adalah bagi membolehkan penjana-penjana elektrik turut sama terlibat dalam melaksanakan obligasi nasional atau aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) ke arah pembangunan industri bekalan elektrik negara. Dana AAIBE menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad dan penjana-penjana bebas atau Independent Power Producers (IPP) yang berjumlah lebih kurang RM70 juta setahun.

Program BELB yang dibiayai oleh Dana AAIBE mulai tahun 1998 sehingga 2010 telah memakan belanja sebanyak RM148,089,209.19 untuk meningkatkan infrastruktur pembekalan elektrik di kawasan luar bandar. Hasil daripada pelaksanaan projek-projek BELB ini, sebanyak 41,218 buah rumah telah mendapat faedah melalui sistem sambungan grid dan sebanyak 7,652 buah rumah telah mendapat bekalan elektrik melalui sistem solar hibrid terutamanya di kawasan penempatan orang asli. Program BELB di bawah Dana AAIBE ini juga turut menyumbang kepada peningkatan liputan bekalan elektrik kepada 99.9% di Semenanjung Malaysia.

Dana AAIBE ini dikawal oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (JAAIBE) yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan wakil-wakil daripada Penjana Bebas (Independent Power Producers)

Berdasarkan kepada pengauditan program BELB yang dibiayai oleh Dana AAIBE bagi tempoh tahun 2008 hingga 2010, pihak Audit telah mendapati kelemahan di dalam pengurusan projek-projek BELB adalah disebabkan kurangnya pemantauan dan ketiadaan garis panduan yang jelas dan terperinci. Merujuk kepada teguran Audit tersebut, Jawatankuasa AAIBE (JAAIBE) telah bermesyuarat pada 25 November 2010 dan seterusnya memutuskan untuk melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan seperti berikut

a) Menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Projek/Program AAIBE (JPPAAIBE) yang dianggotai oleh wakil KeTTHA, KKLW, ST, TNB, SESB dan penerima dana sebagai mekanisma kawalan tambahan bagi pelaksanaan dan pemantauan projek, selain mekanisma kawalan sedia ada iaitu Jawatankuasa AAIBE; dan

b) Mewujudkan satu garis panduan pelaksanaan projek BELB yang lebih holistik dan sedia digunapakai untuk semua projek yang diluluskan mulai tahun 2011. Antara kandungan garis panduan tersebut adalah:

Lokasi projek BELB hendaklah berada di luar kawasan operasi atau tidak mendapat perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
Bekalan elektrik hendaklah disalurkan ke kampung-kampung tradisional untuk kegunaan rumah-rumah tradisional, rumah-rumah kediaman atau perkampungan orang asli dan jenis rumah hendaklah rumah kekal dan didiami serta sesuai untuk dibuat pendawaian elektrik dalam rumah;

Kos purata bagi sebuah rumah hendaklah tidak melebihi RM40,000.00 bagi Semenanjung Malaysia dan RM50,000.00 bagi Sabah;

Semakan tapak yang menyeluruh dan terperinci perlu dijalankan oleh pihak TNB dan dibantu oleh wakil KKLW bagi memastikan tapak projek yang akan dibangunkan tidak mengalami sebarang masalah seperti banjir, isu izin lalu, keadaan permukaan tanah yang tidak sesuai untuk menanam tiang elektrik dan menempatkan sub-stesyen serta rumah kediaman yang tidak berpenghuni setelah projek disiapkan;  Laporan semakan tapak beserta dengan gambar lokasi projek yang diperakui oleh pihak TNB dan KKLW hendaklah dimajukan kepada Jawatankuasa Pemantauan Program/Projek Pembiayaan AAIBE (JPPAAIBE);

Projek BELB perlu disiapkan dalam tempoh lapan belas (18) bulan dari tarikh surat kelulusan yang dikeluarkan oleh KKLW kepada TNB;

Permohonan pelanjutan tempoh pelaksanaan, kenaikan kos serta pembatalan projek perlu dikemukakan kepada pihak KKLW dalam tempoh masa tiga (3) bulan sebelum tarikh tamat kontrak untuk dipertimbangkan di peringkat JAAIBE sebelum kelulusan diberikan;
Laporan pelaksanaan projek BELB perlu dikemukakan kepada JPPAAIBE secara berkala iaitu setiap tiga (3) bulan; dan

Pembayaran untuk projek-projek BELB akan dibuat berdasarkan kepada dokumen perjanjian yang ditandatangani oleh TNB dan KKLW.

Disediakan oleh: Datuk Loo Took Gee, Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air