Bung Mokhtar merungut parlimen tidak ikut waktu pejabat

Persidangan Dewan Rakyat yang berlarutan sehingga lewat malam sejak tirai dibuka pada 3 Okt lepas akhirnya menimbulkan rasa gelisah di kalangan anggota Parlimen.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata anggota Parlimen seolah-oleh dikerah bekerja lebih masa dan tidak mengikut waktu pejabat seperti orang lain.

“Kita masuk dewan 10 pagi, balik 10.30 malam. Orang lain ikut waktu pejabat,
kita tidak ikut. Elaun tidak juga naik. Ini yang masalah,” katanya selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop mengusulkan peraturan mesyuarat agar persidangan hari ini tidak akan ditangguhkan sehingga pukul 10.30 malam.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertindak selaku speaker pada ketika itu berkata bukan sahaja anggota Parlimen yang pulang lewat malah beliau dan dua orang timbalan speaker lain turut terlibat.

Katanya persidangan tidak akan berlarutan sehingga lewat malam sekiranya wakil-wakil rakyat boleh berhujah dengan penuh disiplin dan tidak ‘mencuri’ masa
ebih dari yang ditetapkan.

“Kalau kita kata 10 minit, 10 minitlah tak payah diingatkan. Kalau masing-masing ikut peraturan itu kita semua akan balik awal. Saya pun impi untuk balik awal,” katanya sambil disambut dengan ketawa oleh beberapa wakil rakyat sebelum Dewan berhenti rehat untuk makan tengah hari.

– Bernama