Universiti digesa sasar kecemerlangan ICT

Universiti digesa sasar kecemerlangan ICT

Universiti di negara ini perlu menyasarkan untuk mencapai kecemerlangan dalam ICT, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Universiti di negara ini perlu menyasarkan untuk mencapai kecemerlangan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata institusi berkenaan perlu mempunyai Pusat Kecemerlangan ICT dan Fakulti Teknologi Maklumat untuk memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan pendidikan, penyelidikan dan inovasi ICT untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Saya difahamkan masih tiada ICT HiCoE (Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi) setakat ini. Mungkin sudah tiba masanya sebuah HiCoE dalam ICT ditubuhkan untuk memacu agenda penting ini dalam negara,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Informatik Visual Antarabangsa (IVIC’11) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

Mohamed Khaled berkata sektor perindustrian Malaysia diunjurkan menjana USD14.1 bilion tahun depan dengan kadar pertumbuhan majmuk tahunan 11.9 peratus dari 2001 sehingga 2011.

Bagaimanapun, katanya masih wujud keperluan untuk membangunkan penyelesaian lebih baik dan penambahbaikan terhadap produk dan perkhidmatan ICT sedia ada menerusi penyelidikan dan inovasi cemerlang dan berdaya maju yang bukan sahaja memastikan ICT digunakan dengan lebih baik tetapi juga memastikan aplikasi ICT yang lebih baik di semua sektor.

“Proses itu perlu secara berterusan dan persidangan hari ini dengan tema “Informatik Visual: Kelestarian Inovasi ke arah Pewujudan Kekayaan’ adalah amat sesuai dan tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata ICT pada hari ini dilihat sebagai elemen utama dalam merevolusikan dan membantu pertumbuhan di pelbagai sektor seperti pendidikan, komunikasi, penjagaan kesihatan dan industri baru seperti bioteknologi dan kejuruteraan genetik, yang melibatkan bidang informatik visual.

See also  APU lecturer Eekang Ooi earns top design certification 

– Bernama