WWF Malaysia, UMS anjur ekspedisi ke Liwagu

WWF Malaysia, UMS anjur ekspedisi ke Liwagu

WWF Malaysia dengan kerjasama UMS akan menganjurkan ekspedisi saintifik ke kawasan tadahan air Liwagu di Tambunan selama lima hari mulai esok.

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan ekspedisi saintifik ke kawasan tadahan air Liwagu di Tambunan selama lima hari mulai esok.

Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC) UMS, Dr Abdul Hamid Ahmad berkata objektif ekspedisi itu ialah untuk mengumpul maklumat yang menyumbang ke arah membina pengetahuan kritikal bagi menyokong pengurusan kawasan tadahan air Liwagu dan sumber asli di dalamnya.

Beliau berkata ekspedisi itu termasuk kaji selidik, penyiasatan serta pengenalpastian dan penubuhan sampel, juga plot penyelidikan bagi koleksi data pada masa depan.

“Kerjasama antara WWF-Malaysia dan UMS akan diteruskan selepas ekspedisi dan akan dipanjangkan sehingga akujanji penyelidikan lanjut di kawasan tadahan air Liwagu pada masa depan termasuk pendokumenan dan pengagihan hasil penyelidikan.

See also  Killer Whale sighting in Sabah waters sparks conservation buzz

“UMS sangat teruja untuk bekerja dengan WWF-Malaysia dan kami percaya jalinan kerjasama ini, kita boleh saling melengkapi antara satu sama lain dari segi kepakaran, kemahiran dan sumber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kawasan tadahan air Liwagu di Tambunan adalah kawasan projek WWF-Malaysia sejak Januari 2010, dan akan berakhir pada Disember 2012. Ia dibiayai sepenuhnya oleh HSBC Bank Malaysia Bhd.

– Bernama