Mufti: Elak perilaku songsang, Seksualiti Merdeka

Mufti: Elak perilaku songsang, Seksualiti Merdeka

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berkata kegiatan membabitkan hubungan sejenis boleh menjurus seseorang muslim itu kepada murtad.

 

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berkata sebarang kegiatan songsang yang bertentangan dengan agama Islam terutama membabitkan hubungan sejenis boleh menjurus seseorang muslim itu kepada murtad.

Beliau berkata hubungan sejenis atau songsang amat ditegah dalam Islam kerana ia membawa kepada pupusnya manusia sejagat.

“Kegiatan bertentangan dengan agama membawa seseorang itu kepada murtad,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Abdul Rahman mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang dikecam dan mendapat bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil-wakil agama di dalam negara.

Beliau menasihatkan umat Islam menghindari perilaku songsang, malah, katanya menyokong program sedemikian pun dilarang sama sekali.

“Hubungan sejenis tidak dibenarkan Islam dan di Pahang ini tidak mahu adanya kumpulan lelaki yang menolak perempuan dan sebaliknya,” tambah beliau.

Abdul Rahman menasihatkan semua pihak termasuk ibu bapa menjaga anak-anak daripada terlibat dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah.

– Bernama