Tiga lelaki menyamar ‘sami’ samun warga emas

Sebuah keluarga kerugian lebih RM40,000 apabila dirompak tiga lelaki yang menyamar sebagai sami dalam kejadian berhampiran Taman Botani Negara Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an datang ke rumah mangsa dan meminta daun sepohon pokok di halaman rumahnya, konon untuk upacara keagamaan.

Bercakap kepada pemberita, Zahedi berkata selepas mengambil daun terbabit, ketiga-tiga suspek beredar dan mangsa masuk kembali ke dalam rumah.

“Beberapa minit kemudian mereka datang semula dan menyelinap masuk ke rumah dan mengacukan parang ke arah warga emas berusia 60 tahun itu serta isteri dan anak lelakinya, sebelum merompak barangan seperti set televisyen, komputer riba, wang tunai dan barangan kemas,” kata Zahedi.

Beliau berkata kesemua perompak terbabit melarikan diri dengan kereta Proton Waja milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan 397 Kanun Keseksaan, katanya.

– Bernama