Jakim: pengiktirafan LGBT boleh meningkatkan HIV

Pengiktirafan terhadap golongan yang menjalin hubungan sesama jantina seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) sepertimana dipromosikan dalam program Seksualiti Merdeka berisiko meningkatkan kadar jangkitan HIV dan Aids di negara ini, demikian menurut beberapa tokoh agama.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Razali Shahabudin berkata penganjuran program itu adalah bertentangan dengan norma dan cara hidup masyarakat dan pegangan semua agama di negara ini.

“Perbuatan ini (hubungan sesama jantina) akan membawa kesan buruk dari aspek kesihatan kerana boleh membawa kepada jangkitan penyakit berbahaya dan juga kesan psikologi yang membawa ketidaktenteraman masyarakat,” katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.

Daripada sudut sosiologi pula, beliau berkata ia akan menyebabkan peningkatan gejala sosial dan maksiat sehingga tidak dapat dikawal.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan pula berkata program itu jelas tidak bertamadun dan tersasar daripada cara hidup dan nilai setiap manusia serta meletakkan manusia lebih hina daripada haiwan.

“Penganjur program itu juga jelas telah menyalahi undang-undang negara yang melarang sebarang hubungan sejenis di luar tabii,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata tiada satu pun agama yang mengizinkan hubungan seksual sejenis.

“Ini soal akidah dan seperti yang saya maklum semua agama, Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain tidak membenarkan seks sejenis. Perkara ini adalah acuan yang diambil dari Barat yang kononnya menggunakan alasan hak asasi manusia,” katanya.

Program Seksualiti Merdeka 2011, yang bermula semalam sehingga 13 Nov ini, antara lain mendesak hak sama rata untuk golongan LGBT.

– Bernama