Naza pantau situasi banjir di Thailand

Naza World kini sedang memantau dan menilai situasi banjir di Thailand dan impaknya ke atas industri automotif.

Pengerusi eksekutif Naza Group of Companies Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata kumpulan itu telah terjejas oleh banjir tetapi kesannya masih sedikit.

“Bagi kami (Naza), Chevrolet dan kesemuanya, memang sudah pastinya kami terjejas, tetapi, sekali lagi, kami tidak pasti ke peringkat mana,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Deepavali 2011 Naza World semalam.

Ketua pegawai operasi Naza Quest Sdn Bhd, Datuk Maruan Mohd Said pula berkata hanya beberapa model sahaja yang telah terjejas oleh banjir kerana tidak semua model datang dari Thailand.

“Chevrolet Cruze ialah dari Korea, jadi, ia tidak terjejas oleh banjir. Setakat ini, kami hanya ada satu model di Thailand.”

Beliau berkata simpanan alat ganti syarikat juga tidak begitu terjejas.

– Bernama