Jabatan perhutanan tubuh pusat pemerosesan herba

Jabatan perhutanan tubuh pusat pemerosesan herba

Jabatan Perhutanan Terenggganu telah menubuhkan sebuah pusat pemerosesan herba dan ubatan di tapak semaian Chalok, Setiu.

Photo by debivort 1998

Jabatan Perhutanan Terenggganu telah menubuhkan sebuah pusat pemerosesan herba dan ubatan di tapak semaian Chalok, Setiu.

Pengarah Perhutanan Negeri Azmi Nordin berkata ia bertujuan bagi memperkembangkan industri berasaskan herba dan bioteknologi di negara ini.

“Kita bukan sahaja mewujudkan ladang herba tetapi dalam masa yang sama kita juga memprosesnya,” katanya di sini.

Azmi berkata sehingga kini jabatan itu telah menghasilkan produk herba teh Karas yang didakwa berfungsi merawat dan mengawal pelbagai penyakit serius.

Selain produk herba dan ubatan, beliau berkata pihaknya telah mewujudkan ladang Karas seluas 47 hektar di hutan simpan Mercang, Marang bagi tujuan penyelidikan untuk menghasilkan gaharu.

Gaharu mempunyai nilai pasaran tinggi dan berpotensi sebagi sumber ekonomi negara di masa akan datang, katanya.

Sementara itu, Azmi berkata jabatan itu akan terus mengenalpasti dan memulihara kawasan hutan yang mengandungi tumbuhan-tumbuhan yang unik dan bernilai tinggi.

Katanya setakat ini jabatan telah mengenal pasti kawasan hutan yang mempunyai nilai pemeliharaan yang tinggi (HCVF) seperti pokok cengal terbesar di

Pasir Raja dan pokok Keruing Sarawak di Jerangau, kedua-duanya di Dungun.

“Ini merupakan satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia di mana boleh dijumpai spesies ini,” katanya.

Azmi berkata menerusi HCVF, pihaknya dapat melindungi kawasan yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi seperti spesies terancam dan sebagainya.

Katanya ia juga dapat melindungi kawasan yang membekalkan keperluan asas masyarakat tempatan seperti kawasan tadahan air dan kawasan hakisan untuk dinikmati dan diwarisi oleh golongan akan datang.

– Bernama