Penduduk Kota Bharu sedia hadapi banjir

Penduduk Kota Bharu sedia hadapi banjir

Penduduk di sekitar bandar ini, terutama di kawasan rendah yang sering dilanda banjir, mula membuat persiapan menghadapi bencana itu.

Penduduk di sekitar bandar ini, terutama di kawasan rendah dan sering dilanda banjir, mula membuat persiapan menghadapi bencana itu yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk sanggup berbelanja sehingga ribuan ringgit menyediakan pangkin atau “kekuda” bagi menempatkan barangan agar tidak rosak jika berlaku banjir.

Siti Norlida Mohd Akhir, 40, yang ditemui di Taman 13 Avenue, Kampung Wakaf Stan, iaitu antara kawasan yang sering dilanda banjir, berkata beliau telah menempah beberapa kekuda bagi menempatkan barangan seperti peti ais, mesin basuh dan almari.

“Tahun ini saya habiskan lebih RM1,000 bagi membina beberapa kekuda yang diperbuat daripada kayu dan besi.

“Sebelum ini sudah tiga kali rumah saya digenangi air banjir ketika hujan lebat. Air yang bertakung disebabkan tiada saliran parit yang sempurna bagi mengalirkan air banjir itu keluar,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) telah berjanji untuk menyelesaikan masalah yang meresahkan penduduk itu.

Seorang lagi penduduk Rusli Mohamad, 42, meminta MPKB melaksanakan janji bagi membina saliran sempurna tersebut pada kadar segera.

“Kami sudah tidak sanggup untuk hidup terus dirundung kegelisahan akibat banjir kerana bukan sedikit harta benda kami yang musnah akibat banjir ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKB Fauzi Mat dan beberapa pegawainya telah berkunjung ke taman tersebut petang semalam bagi melihat dan mendengar sendiri masalah mereka.

Fauzi pada kunjungannya itu berjanji akan membina beberapa parit sementara bagi mengelakkan banjir di kawasan tersebut pada musim tengkujuh yang diramal tidak lama lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini, dilapor berkata beberapa negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir mulai hujung bulan ini apabila curahan hujan dijangka antara 800mm sehingga 900mm.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman puladilapor berkata keadaan akan diburukkan dengan air pasang besar yang diramal berlaku selama beberapa hari pada penghujung bulan ini dan bulan depan.

– Bernama