Mohon berkat kejayaan untuk pelajar UPSR di Kuil Raja Rajeswary, Klang

Posted on 11 September 2012 by Rajeswari

Persatuan Kebajikan Kaum Hindu Taman Sentosa telah mengadakan satu upacara sembahyang di Kuil Sri Raja Rajeswari, Klang, khas untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

Upacara ini telah disempurnakan oleh ADUN Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar.

Pelajar- pelajar UPSR, PMR, SPM dan STPM yang bakal menduduki peperiksaan ini telah hadir bersama ibu bapa mereka bagi majlis yang penuh bermakna ini.

Pengerusi Kuil Palaya mengharapkan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akan menghadapinya dengan penuh tabah dan kekuatan emosi yang cekal selepas menghadiri ceramah dan upacara sembahyang khas yang dilakukan oleh pihak kuil.

“Peperiksaan yang dijadualkan bermula pada September 11, 2012 merupakan satu ujian permulaan bagi pelajar-pelajar yang telah menjalani pembelajaran selama enam tahun untuk melangkah tangga yang seterusnya”, ujar O. Thuraiveloo yang merupakan penceramah motivasi terkenal dan juga penulis buku SPM Fajar Bakti serta pengarah program skor A Universiti Malaya.

Thuraiveloo juga menekankan bahawa keyakinan diri, usaha yang berterusan dan kekuatan emosi adalah amat penting bagi kejayaan seseorang pelajar.

Beliau menyeru agar ibu bapa memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak mereka di samping kasih sayang bagi pelajar-pelajar ini mengharungi masa depan dengan penuh keyakinan.

“Hari-hari atau saat-saat terakhir perlu dihadapi dengan kata-kata semangat dari ibu bapa yang akan menjadi perangsang serta memberi keyakinan diri di samping itu pemakanan serta diet yang seimbang amat penting untuk pelajar-pelajar”, kata Thuraiveloo.

Klang, Taman Sentosa Klang