Pahang mungkin hadapi banjir lebih buruk tahun ini

Pahang kini bersiap sedia menghadapi bencana banjir yang dijangka lebih buruk berbanding tahun lepas berdasarkan musim tengkujuh yang dijangka melanda bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata Pahang diramal dilanda bencana itu bulan depan hingga Januari depan di mana air pasang besar akan berlaku pada 24 hingga 27 Dis ini.

Justeru itu, katanya kerajaan negeri telah mengenal pasti 586 buah pusat pemindahan yang mampu menampung kira-kira 127,000 mangsa jika berlaku banjir.

Selain itu, bekalan makanan juga akan dihantar bermula 10 Nov ini ke 105 buah pangkalan hadapan yang diwujudkan bagi menampung keperluan mangsa banjir yang terputus hubungan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Muhammad Safian berkata sejumlah 4,505 anggota penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain telah diarahkan bersiap sedia menghadapi bencana itu.

Katanya cuti anggota jabatan dan agensi yang terbabit dengan banjir juga dibekukan bagi tempoh 15 Nov hingga akhir Februari depan.

Beliau berkata daerah yang dijangka dilanda banjir lebih teruk berbanding tahun lepas adalah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Beliau turut menasihatkan mana-mana badan bukan kerajaan atau swasta yang ingin menghulurkan bantuan supaya menyalurkannya secara terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

– Bernama