KLSCAH mahu laluan MRT Jalan Sultan diubah

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini mendesak kerajaan supaya mengubah laluan landasan projek Aliran Transit Massa (MRT) di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang.

Setiausaha agung persatuan itu, Yong Yew Wei berkata pembinaan laluan MRT di lokasi berkenaan akan memberi kesan kepada perniagaan dan merosakkan bangunan warisan di kawasan itu.

“Di kawasan ini, terdapat banyak lot-lot perniagaan dan bangunan warisan… Pembinaan itu juga menjejas kedatangan pelancong asing berjumlah sekitar empat juta orang setahun,” kata Yong selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Bangunan Parlimen di sini.

Memorandum bantahan itu juga turut diserahkan kepada seorang Timbalan Setiausaha Sulit Perdana Menteri untuk disampaikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yong berkata memorandum itu turut mengandungi cadangan laluan alternatif.

Projek pembinaan MRT secara berperingkat dijangka bermula pada suku kedua atau ketiga tahun depan, manakala pembinaan terowong laluan Sungai Buloh-Kajang di lokasi Jalan Sultan dijangka bermula pada suku kedua 2014.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE