PayPal buka pusat operasi di Malaysia

PayPal buka pusat operasi di Malaysia

Perniagaan e-dagang, PayPal, hari ini secara rasminya membuka pusat operasi globalnya yang baharu di Malaysia, yang pertama di Asia Tenggara.

PayPal, perniagaan e-dagang yang berpangkalan di AS, hari ini secara rasminya membuka pusat operasi globalnya yang baharu di Malaysia, yang pertama di Asia Tenggara.

Kemudahan itu menyediakan perkhidmatan dan sokongan dalam bahasa Inggeris kepada para pengguna di seluruh Asia dan menyediakan risiko tambahan dan operasi perkhidmatan kewangan untuk perniagaan global PayPal.

Sokongan dalam bahasa Asia yang lain akan ditambah dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata: “Kerajaan sentiasa meninjau untuk meningkat dan memudahkan perdagangan di Malaysia, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana, dan peserta pasaran global seperti eBay dan sistem pembayaran seperti pemudahan perdagangan PayPal.

“Saya gesa agar perniagaan dan PKS tempatan cepat-cepat mengguna pakai strategi runcit pelbagai saluran, dengan mengintai pertumbuhan baharu dan pendekatan pengembangan termasuk penggunaan teknologi baharu,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran di sini hari ini.

Naib presiden kanan operasi global PayPal, John McCabe, berkata: “Manusia adalah aset paling penting dan kami membuat pelaburan yang signifikan di sini dari segi mengambil bakat tempatan, dan menyediakan mereka dengan latihan menyeluruh untuk memberi perkhidmatan di seluruh dunia.”

PayPal merancang untuk mengambil sehingga 500 pekerja tempatan menjelang akhir 2013, dengan 200 pekerja telah sedia ada.

Kemudahan itu memenuhi dua tingkat di 1 First Avenue, Dataran Bandar Utama, yang merupakan bangunan berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC).

Ia menyertai pusat operasi global PayPal yang lain di Berlin, Shanghai, Sao Paulo, Dublin, dan Chandler dan Omaha di AS.

– Bernama