Kutipan zakat Kuala Lumpur naik 66% tahun ini

Kutipan zakat Kuala Lumpur naik 66% tahun ini

Kutipan zakat perniagaan daripada kira-kira 1,000 syarikat korporat yang beroperasi di Kuala Lumpur, berjumlah RM44 juta tahun ini.

Oleh Nur Firdaus Abdul Rahim

Kutipan zakat perniagaan daripada kira-kira 1,000 syarikat korporat yang beroperasi di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur berjumlah RM44 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Penolong Pengurus Operasi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohamed Hassan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus berbanding RM27 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata kutipan zakat keseluruhan untuk tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini pula berjumlah RM 258 juta, iaitu meningkat sebanyak 17 peratus.

Ini katanya, menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding RM221 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Kita juga mengunjurkan kira-kira 40 peratus lagi jumlah zakat (keseluruhan) akan dikutip pada bulan Disember nanti,” katanya kepada Bernama pada program PPZ Bersama Syarikat Korporat di surau Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan jumlah kutipan zakat, sama ada daripada individu dan syarikat-syarikat korporat saban tahun menunjukkan kesedaran warga Muslim menjalankan tanggungjawab mereka untuk menunaikan zakat.

“PPZ melihat perubahan drastik ini selepas menganjurkan pelbagai program dakwah dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat di sekitar bandar raya in yang telah membantu menambah pengetahuan kepada umat Islam akan kepentingan membayar zakat,” katanya.

Beliau berkara program dakwah itu diadakan sepanjang tahun di lokasi-lokasi terpilih.

Selain itu katanya, PPZ turut bercadang untuk memuat turun aplikasi cara pembayaran zakat ke dalam telefon bimbit pintar dalam memudahkan umat Islam menjalankan tanggungjawab mereka selain daripada membayar zakat di kaunter zakat.

PPZ juga kini menyediakan kemudahan pembayaran zakat menerusi potongan gaji serta perbankan internet dan kemudahan mentaksir jumlah zakat serta semakan penyata zakat boleh dibuat menerusi laman web PPZ di www.zakat2u.com.my.

– Bernama