Keprihatinan peniaga dapat penghargaan

Keprihatinan peniaga khususnya dalam membantu insan yang memerlukan bantuan mendapat penghargaan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) sempena Deepavali kali ini.

Pengarah Jabatan Komunikasi Dan Pengaduan Awam (JKPA),Norfiza Mahfiz berkata,sebanyak 13 pemilik premis sekitar Jalan Tengku Kelana telah memberi sumbangan kepada Tabung Amal MPK Prihatin dan sebagai menghargai mereka,setiap peniaga menerima Sijil Anugerah MPK Prihatin yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya,JKPA juga telah membuka kaunter MPK Prihatin di situ dan turut menyediakan sesi bergambar serta setiap pengunjung boleh menderma selepas foto dirakamkan sekitar kawasan itu.

“Program ini merupakan aktiviti kedua selepas diadakan di Pulau Indah sempena Aidilfitri dan ternyata ia mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Malah kehadiran kami juga ditunggu-tunggu oleh pengunjung bagi mengenali dengan lebih jelas konsep MPK Prihatin yang mula diperkenalkan majlis sebelum ini”katanya.

Norfiza berkata,selain daripada menderma sambil bergambar,JKPA juga turut membuat kollam sempena Deepavali dan ia turut disertai oleh orang ramai yang datang ke situ serta beberapa aktiviti lain yang menarik perhatian pengunjung.

Menurutnya,JKPA merancang untuk memperluaskan aktiviti MPK Prihatin tanpa mengira kaum dan agama serta perayaan yang disambut dan bakal tampil dengan kelainan termasuk turut serta dalam program kemasyakatan,gotong-royong dan aktiviti setempat yang lain.