KUALA LUMPUR – Pada 4 Disember 2010 kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah meluluskan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli (DPPTOA) yang jelas sekali mencabul hak asasi Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak untuk menguruskan sendiri tanah asal nenek moyang mereka.
Pada waktu itu Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) telah mendakwa bahawa dasar itu telah diluluskan tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli terlebih dahulu.
Menurut wakil JKOASM Shafie Idris dasar yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan itu masih diperhalusi oleh Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asli yang diketuai oleh SUHAKAM dan mendapat bantahan keras dari Orang Asli.
Tindakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang langsung tidak menghormati keputusan SUHAKAM agar menangguhkan perlaksanaan tersebut sehingga sekurang kurangnya laporan siasatan kebangsaan yang dibuat ke atas tanah itu selesai adalah amat mengecewakan sekali.
Isu isu seperti ini amat sinonim dengan rampasan rampasan yang dibuat oleh syarikat syarikat korporat serta individu asing yang menceroboh tanah adat dan tanah asal turun temurun Orang Asli di Malaysia yang jelasnya mendaat restu dari pihak berkuasa.
Ternyata unsur kapitalis melampau dalam pentadbiran awam di negara ini berada di pada tahap yang kritikal sehingga menjejaskan apa yang sudah pun termaktub di dalam perlembagaan negara.
Sehubungan dengan itu, semalam wakil dari JKOASM iaitu Shafie Idris telah menghantar satu surat menyatakan bantahan terhadap perkara ini dengan diiringi lebih kurang 50 orang wakil dari Orang – Orang Asli seluruh Semenanjung Malaysia.
Surat bantahan itu telah diserahkan kepada wakil JAKOA pada pukul 10 pagi dan seterusnya salinan kedua diserahkan kepada wakil SUHAKAM di pejabat SUHAKAM di Jalan Sultan Ismail pada pukul 3 petang pada September 28, 2012.