Pengurus kilang didakwa sogok pegawai TNB

Pengurus kilang didakwa sogok pegawai TNB

Seorang pengurus kilang perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi rasuah kepada pengurus kanan TNB, Mei lepas.

Seorang pengurus kilang perabot hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberi rasuah kepada pengurus kanan Tenaga Nasional Berhad, Mei lepas.

Tan Boon Hing, 57, didakwa memberikan suapan iaitu wang tunai RM4,000 kepada Rumaizi Mohd Amir sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana mencuri arus eletrik.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Starbuck Bangsar Village di sini pada 10.45 pagi, 25 Mei 2011.

Untuk itu dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fairuz Johari menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala peguam P.Yogan yang mewakili tertuduh tiada bantahan terhadap jaminan tersebut.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Nov depan untuk sebutan kes.