Nasib penduduk Kampung Sembulan kini tanda tanya

Nasib penduduk Kampung Sembulan kini tanda tanya

Penduduk kampung tersebut telah mencadangkan agar 40 ekar tanah kampung tersebut digazetkan sebagai rizab melayu bumiputera.

Kerajaan negeri Sabah baru-baru ini telah menolak permohonan oleh penduduk tempatan untuk membaharui pajakan hak milik tanah kampung Sembulan.

Penduduk Kampung Sembulan baru-baru ini telah diarah untuk berpindah ke kawasan perumahan rakyat di Telipok Ria kerana kerajaan negeri mahu menggunakan tanah teresebut untuk pembangunan.

Menurut Ketua Parti Maju Sabah (SAPP) kawasan Tanjung Aru, Datuk Richard Yong, beliau telah berjumpa dengan penduduk kampung tersebut untuk meminta bantuan mengenai arahan kerajaan negeri.

Penduduk kampung tersebut telah mencadangkan agar 40 ekar tanah kampung tersebut digazetkan sebagai rizab melayu bumiputera dan selebihnya sebagai milik kerajaan negeri.

“Kerajaan perlu membenarkan rakyat untuk membayar premium tanah,” ujar Richard setelah berjumpa dengan penduduk tersebut pada mesyuarat agung tahunan  jawatankuasa perhubungan kawasan Tanjung Aru di Sembulan.

Penduduk yang diarahkan untuk pindah ke kawasan perumahan rakyat Telipok Ria juga mengadu bahawa mereka terpaksa membayar sewa bulanan untuk rumah serta kos pengunaan elektrik dan air.

Mereka juga bimbang bahawa kos kehidupan mereka juga akan bertambah kerana kawasan Telipok Ria terletak jauh dari kawasan Kota Kinabalu dan kebanyakkan penduduk kampung Sembulan tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

 

Jeffery George