Polis percaya Himpunan Sejuta Umat akan bergerak lancar

Polis percaya Himpunan Sejuta Umat akan bergerak lancar

Polis mengeluarkan permit kepada penganjur Himpunan Sejuta Umat pada Sabtu ini kerana yakin perhimpunan akan berlangsung dengan aman serta mengikut peraturan yang ditetapkan dalam permit.

Polis mengeluarkan permit kepada penganjur Himpunan Sejuta Umat pada Sabtu ini kerana yakin perhimpunan akan berlangsung dengan aman serta mengikut peraturan yang ditetapkan dalam permit.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata acara itu yang dijadualkan dari pukul 2 hingga 6 petang juga diadakan di dalam stadium dan tidak membabitkan perarakan.

“Kita telah teliti program yang akan diadakan iaitu bersajak, nasyid dan ceramah. Kita juga tidak menerima sebarang laporan negatif berhubung perhimpunan itu,” katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pencegahan
Jenayah Kilang-Kilang di Selangor, semalam.

Bagaimanapun katanya, polis sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada hari berkenaan.

“Anggota kita sentiasa bersedia dan memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap baik termasuk aliran trafik pada hari berkenaan,” katanya.

Tun Hisan juga meminta pihak yang berkenaan khususnya penulis blog, agar menghentikan tindakan menghasut orang ramai dengan memberi gambaran negatif terhadap perhimpunan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam itu.

Katanya tindakan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dan menimbulkan kebimbangan yang tidak berasas.

Terdahulu ketika berucap, Tun Hisan berkata pihak keselamatan kilang di Selangor perlu menjalinkan hubungan rapat dengan polis dalam usaha untuk bersama-sama membanteras kegiatan jenayah.

Beliau berkata kursus selama dua hari itu memberikan maklumat kepada 30 peserta tentang prosedur untuk membuat laporan kepada polis, Kanun Prosedur Jenayah, langkah keselamatan pencegahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

– Bernama