PKNS peruntukan RM5 juta cat semula pangsapuri

PKNS peruntukan RM5 juta cat semula pangsapuri

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, sehingga kini tujuh pemajuan melibatkan 19 blok telah berjaya disiapkan dengan jayanya di Petaling Jaya, Kota Damansara dan Shah Alam.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan sebanyak RM 5 juta untuk mengecat semula pangsapuri dibina oleh syarikat itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, sehingga kini tujuh pemajuan melibatkan 19 blok telah berjaya disiapkan dengan jayanya di Petaling Jaya, Kota Damansara dan Shah Alam.

Menurutnya, seksyen 20 Shah Alam dalam tindakan mengecat melibatkan 10 blok dijangka siap secara berperingkat bermula 13 hingga 28 November.

“Seksyen 24, Shah Alam melibatkan 2 blok dijangka siap pada 25 Disember ini,” katanya kepada Komunitikini dalam satu lawatan di Shah Alam, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Iskandar berharap pemaju lain akan mengikuti contoh PKNS menjalankan tanggungjawab khidmat sosial kepada penduduk.

Menurutnya, setiap blok mengambil masa 5 minggu untuk mengecat semula.

“Program mengecat semula adalah untuk pangsapuri yang dibina oleh syarikat itu sendiri.

“Penduduk, perbadanan pengurusan dan badan pengurusan bersama tidak perlu membayar sebarang kos kepada PKNS,” ujarnya.

Penduduk gembira pangsapuri cat baru

Sementara itu, penduduk Seksyen 24 Shah Alam, Hamidun Jamaluddin, 65, mengucapkan terima kasih kepada pihak berkaitan yang mengecat semula pangsapuri tempat kediaman mereka.

Beliau yang meniaga secara kecil-kecil berkata, jelas nampak perubahan dan cantik bila blok dicat semula.

“Saya dah duduk di sini lebih kurang 10 tahun, dulu keadaan flat buruk seolah tidak terjaga, terima kasih lah kepada kerajaan,” ujarnya.