Keluarga remaja mati ditembak polis saman PDRM dan kerajaan Malaysia

Keluarga remaja mati ditembak polis saman PDRM dan kerajaan Malaysia

JOHOR BAHRU – Keluarga remaja yang mati ditembak polis telah memfailkan tuntutan saman diantaranya, ganti khas, teruk/tauladan faedah dan kos keatas pihak PDRM. [VIDEO]

Keluarga remaja yang mati ditembak polis telah memfailkan tuntutan saman  diantaranya, ganti khas, teruk/tauladan faedah dan kos keatas pihak Polis Di Raja Malaysia, kerajaan Malaysia, lima anggota polis termasuk Ketua Polis Negara sebagai defendan di Makhamah Tinggi Sivil, Menara MSC Cyberport, Johor Bahru, hari ini.

Sapiah Md Ellah, 54, ibu si mati dalam tuntutannya menuduh pihak polis telah melanggar piawaian tatacara pengendalian Polis (SOP) apabila menembak mati anaknya, Mohd Affam bin Arif,  19, dalam kejadian 20 Oktober, 2009 lalu.

Mohd Affam Arif adalah seorang penuntut di sebuah Kolej Komuniti.

Sapiah berkata, semasa kejadian, anaknya, Mohd Affam sedang menunggang motosikal bersama seorang rakan menuju ke Taman Daya dan cuba ditahan oleh beberapa orang berpakaian preman yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

Mohd Affam gagal ditahan malah beliau terus memecut motorsikal yang ditunggangnya dan kemudiannya ditemui mati setelah terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis berkenaan.

Menurut Sapiah, kes kematian anaknya sudah hampiri tiga tahun, akan tetapi sehingga hari ini, pihak polis masih gagal memberi satu jawapan yang memuaskan.

‘Mereka (polis) menuduh anak saya seorang peragut, pencuri, perompak dan adalah seorang penjenayah yang dikehendaki polis’, kata Sapiah.

‘Saya rasa terkilan bila anak saya dituduh sampai macam itu’, tambah beliau.

‘Saya buat andaian bahawa, besar kemungkinan anak saya sampai di bank situ, perompak sampai, kebetulan anak saya pun sampai dan anak saya diugut perompak supaya suruh lari, jadi polis pun kejar dia sehingga ditembak mati’, kata Sapiah

Apabila ditanyakan Citizen Journalists Malaysia (CJMY) apakah harapan beliau berkenaan dengan tuntutan yang dibuat, Sapiah memberitahu bahawa, beliau minta keadilan yang sebenar-benarnya, dengan jujur dan ikhlas dari pihak atasan serta perlu membersihkan nama anaknya dan nama beliau.

Sementara, seorang peguam sukarelawan daripada Lawyers For Liberty (LFL),  Haijan Omar, yang mewakili Sapiah berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada pihak polis untuk mendapatkan jawapan dalam kes tersebut tetapi gagal kerana pihak polis menyatakan kes berkenaan masih lagi dalam siasatan sedangkan kes ini telah berlaku hampir tiga tahun lalu.

 

Azizan Yunus