Pesawat mendarat cemas, juruterbang dan pelatih terselamat

Pesawat mendarat cemas, juruterbang dan pelatih terselamat

Sebuah pesawat ringan jenis Scoata TB-10 Tabago GT yang dipandu oleh juruterbang bersama pelatihnya mendarat cemas di kawasan paya bakau di Kampung Assam Jaya, Kuala Selangor, semalam setelah mengalami masalah mekanikal.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, juruterbang berkenaan Abdul Rais Saad, 45, dan pelatih juruterbangnya, Parvinder Pal Singh, 21, telah terselamat dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan dan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata pesawat milik ESB Aeroclub Subang itu dalam penerbangan pulang ke pangkalannya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, selepas melakukan sesi latihan penerbangan di kawasan Sekinchan.

Beliau berkata juruterbang itu sempat menghubungi Bilik Gerakan Pusat Kawalan Bukit Aman bagi memaklumkan kedudukan mereka apabila pesawat itu mengalami masalah.

Katanya pesawat itu telah melakukan pendaratan cemas, dan kedua-dua mereka berjaya menyelamatkan diri setelah muncung pesawat berkenaan terbenam hingga ke bahagian kokpit ke dalam kawasan paya bakau itu.

“Kedua-dua mangsa berjalan kaki sejauh 500 meter ke arah kolam penternakan udang yang terletak berhampiran lokasi kejadian sebelum dibantu pekerja kolam penternakan itu,” katanya.

Pihak polis yang tiba kemudian membawa mereka ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan dan rawatan, katanya.

– Bernama