Agrobank buka cawangan baru di Ranau

Agrobank akan membuka satu cawangan baru di daerah Ranau tidak lama lagi sebagai usaha untuk memperluaskan lagi perkhidmatan mereka kepada golongan petani, penternak dan nelayan di Sabah.

Pengurus Wilayah Agrobank Sabah, Che Azmi Che Lah berkata bahawa, pembukaan cawangan baru tersebut adalah selaras dengan usaha institusi kewangan tersebut untuk mencapai golongan sasar yang berada di kawasan luar bandar.

“Pembukaan cawangan di Ranau telahpun diluluskan, manakala pembukaan kiosk di Semporna telah dicadangkan berikutan daripada permintaan ramai pelanggan bank di dua daerah tersebut di kalangan petani, penternak dan nelayan.” kata beliau semasa Majlis Makan Malam Agrobank Bersama Pelanggan Korporat di Sabah Hotel, Sandakan kelmarin

“Pembukaan kiosk merupakan antara pendekatan yang diambil bagi memberikan perkhidmatan meluas kepada semua rakyat terutama penduduk di kawasan luar Bandar.”

“Sehingga kini sebanyak 12 cawangan dan tiga kiosk sudah dibuka di negeri ini. Ia termasuk kiosk di daerah Kuala Penyu, Nabawan dan terbaru di Penampang,” jelas beliau lagi.

Perkhidmatan yang sesuai juga diambil sebagai memberikan perkhidmatan kepada pelanggannya. Antaranya adalah melakukan simpanan, pembayaran pinjaman dan pembayaran bil melalui konsep Menyudut.

Menerusi konsep itu, petugas Agrobank di setiap cawangan dan kiosk akan keluar memberi perkhidmatan kepada pelanggannya yang tinggal di kawasan pulau dan mereka yang berniaga di pasar serta tamu.